Liverpool tak layan Coutinho

154

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menafikan spekulasi The Reds akan membeli semula tonggak Barcelona, Philippe Coutinho.

Menurut Klopp, perpindahan tersebut mustahil akan berlaku kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Secara jujurnya, Coutinho masih merupakan antara pemain terbaik di dunia ini. Tiada keraguan tentang itu. Saya juga sangat menyukai dia.

“Namun, mustahil untuk membawa kembalinya ke Anfield kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar dan kami tidak berhasrat mengeluarkan wang yang banyak untuk tujuan itu,” katanya.

Coutinho berpindah dari Liverpool ke Barcelona dengan nilai perpindahan £142 juta (RM651 juta) pada Januari 2018, namun gagal menyinar dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

Ia sekali gus timbul laporan bahawa The Catalan mahu menjual pemain Brazil itu untuk mencukupkan dana membawa masuk bintang Paris Saint Germain (PSG), Neymar ke Camp Nou.

“Saya cuma boleh mengharapkan dia (Coutinho) kembali menemui rentak di Barcelona. Saya tak nafikan kami saling berhubung dan merasakan kepulangannya ke Anfield akan memberi nilai tambah kepada pasukan.

“Bagaimanapun, ia agak mustahil berlaku dalam beberapa tahun akan datang. Saya juga mengharapkan Barcelona dapat menyambung kontrak Coutinho,” jelas Klopp lagi.

Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Liverpool dari Inter pada 2013 dan pernah dilatih Klopp ketika pengendali Jerman itu mengambil alih The Reds pada 2015.

Coutinho menjaringkan 13 gol pada 2016/2017 dan tujuh gol pada musim berikutnya sebelum mengambil keputusan mengejut berpindah ke Barcelona.

Komen anda