Lorenzo berguru di Jepun

172

REPSOL Honda terpaksa menghantar Jorge Lorenzo ‘berguru’ di Jepun untuk menangani masalah prestasi yang membelenggunya awal musim ini.

Bos Honda, Alberto Puig berkata, tujuan menghantar Lorenzo ke ibu pejabat mereka di Asaka, Jepun ialah untuk memberikan peluang kepada pelumbanya itu berkomunikasi secara terus dengan juruteknik Honda.

Jelasnya, ini bagi membolehkan Lorenzo mendapatkan penyelesaian terbaik terhadap posisinya ketika menunggang, selain menangani masalah-masalah lain yang membuatkan dia tidak selesa dengan jentera RC213V.

“Kami membuat keputusan untuk memperbaiki masalah ergonomic yang dialami Lorenzo dengan membawanya ke Jepun.

“Kami berasakan ini adalah idea terbaik bagi membolehkannya berkomunikasi secara terus dengan jurutera dan juruteknik kami di sana, selain membolehkannya menganalisa dengan lebih mendalam masalah yang dia hadapi.

“Sehingga saat ini Lorenzo masih lagi bergelut. Jadi, dia perlu mencari penyelesaian terbaik bagi membolehkannya kembali ke prestasi terbaik,” katanya.

Prestasi pelumba kelahiran Sepanyol itu bersama Honda di musim pertamanya tahun ini tampak membimbangkan apabila bekas juara dunia lima kali itu gagal berada dalam kelompok 10 terbaik musim ini.

Dalam pada itu, Lorenzo mengakui beliau masih belum menemui jawapan kepada permasalahannya bersama Honda musim ini.

Justeru, beliau berharap lawatannya ke Jepun dapat membantunya menemui jawapan terbaik untuk kembali ke prestasi terbaik seperti bersama pasukan lain sebelum ini.

“Saya tidak selesa dengan jentera ini secara jujurnya. Oleh sebab itu, saya dan Honda akan terus berusaha mencari penyelesaian bersama.

“Sekarang saya akan ke Jepun bersama Hinda dan diharapkan kami dapat melakukan beberapa penambahbaikan dan bangkit lebih kuat selepas ini,” katanya.

Komen anda