Lorenzo, Honda bakal berpisah: Pernat

64

JORGE Lorenzo diyakini tidak akan kekal lama bersama Repsol Honda dan hanya menunggu masa dipecat pasukan dari Jepun itu, kata Carlo Pernat.

Pernat yang juga pemerhati MotoGP berkata, beliau yakin surat pemecatan Lorenzo paling lambat akan tiba pada hujung musim ini.

“Tidak mustahil kontraknya akan dibatalkan dengan segera. Saya menjangkakan paling lewat ialah pada penghujung musim ini.

“Saya melihat situasinya bersama Honda sangat sukar yang mana ia mustahil untuk mereka melakukan pembaharuan besar-besaran kepada jentera RC213V yang ditunggang Lorenzo,” katanya.

Pada masa sama, Pernat turut menganggap keputusan Honda untuk membawa Lorenzo melawat kilangnya di Jepun sebagai sia-sia.

“Apa yang akan mereka (Honda) katakan kepada Lorenzo di Jepun? Ya, mungkin dia akan mendapat sedikit bantuan di sana.

“Tetapi saya tidak yakin Honda akan memberikan motosikal baharu kepada Lorenzo kerana (Marc) Marquez telah memenangi beberapa perlumbaan dengan motor yang sama. Jadi apa alasan mereka?,” soalnya.

Sebelum ini, Lorenzo pernah menyatakan kekecewaan terhadap prestasinya dalam enam perlumbaan awal musim ini.

Pelumba kelahiran Sepanyol yang pernah memenangi lima gelaran juara dunia itu juga seolah-olah menyalahkan jentera RC213V yang dianggap tidak sesuai dengannya.

“Jika saya mendapat satu perasaan yang lebih baik bersama motosikal ini, mungkin akan memudahkan saya,” ujarnya.

Komen anda