Lorenzo masih mencari rentak

97

BEKAS juara dunia yang juga pelumba baharu Repsol Honda, Jorge Lorenzo masih belum yakin terhadap keupayaannya memburu kejuaraan MotoGP 2019.

Selepas berakhirnya dua perlumbaan awal musim ini, Lorenzo masih gagal berada di podium Grand Prix (GP) Qatar dan GP Argentina yang berakhir awal pagi Isnin lalu.

Selepas hanya menjalani sesi ujian pramusim di Valencia dan Jerez dengan menunggang RC213V, Lorenzo berkata, dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu Honda itu.

Menurut Lorenzo, dia sendiri belum pasti dapat memberikan saingan kompetitif kepada barisan pencabarnya termasuk rakan sepasukannya yang juga penyandang juara, Marc Marquez.

“Saya tidak tahu sama ada saya sudah bersedia untuk merebut kejuaraan dunia pada musim pertama saya bersama Honda. Sudah pasti, saya akan cuba melakukan yang terbaik pada setiap perlumbaan tetapi ia tidak semudah itu.

“Pada masa sama, kamu harus bersaing dengan Marc yang merupakan pelumba yang cukup hebat dan dia telah bersama pasukan ini selama enam atau tujuh musim.

“Bukan sahaja dia (Marquez), saya juga perlu bersaing dengan Andrea Dovizioso yang telah bersama Ducati selama tujuh musim dan Valentino Rossi yang bersama Yamaha lebih 10 tahun.

“Terlalu ramai pelumba dengan pengalaman yang cukup luas, jadi ia bukan satu tugas yang mudah. Saya tidak pasti sama ada saya sudah bersedia,” katanya.

Sekalipun sedar tugas sukar menantinya, Lorenzo tetap menganggap dia sebagai ‘budak bertuah’ apabila dapat menyertai pasukan Repsol Honda.

Sebagai rekod, pelumba kelahiran Sepanyol berusia 31 tahun itu muncul juara bagi kelas 250cc ketika mewakili pasukan Aprilia pada musim 2006 dan 2007.

Bersama Yamaha, Lorenzo melakar sejarah tersendiri apabila dinobat juara dunia MotoGP pada 2010, 2012 dan 2015. Namun, Lorenzo gagal mencetuskan impak positif ketika mewakili Ducati pada 2017 dan 2018.

Komen anda