Lorenzo mula rasa bahang

531

JORGE Lorenzo mengakui bakal berdepan ‘situasi sama’ apabila bergandingan dengan Marc Marquez di Honda musim ini sebagaimana yang pernah dilaluinya ketika dia berpasangan bersama Valentino Rossi di Yamaha sebagai pelumba baharu (rookie) MotoGP.

Lorenzo meninggalkan Ducati bagi menggantikan tempat Dani Pedrosa musim ini, sekali gus dianggap gandingan paling ideal bersama Marquez – juara dunia MotoGP lima kali dalam tempoh enam musim terakhir ini.

Rossi juga juara dunia MotoGP lima kali ketika Lorenzo tiba di Yamaha pada 2008 sebelum legenda Itali itu menambah satu lagi koleksi kejuaraan pada musim 2009.

Lorenzo pula mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP buat kali pertama dalam kariernya apabila dinobat selaku juara pada 2010 selepas tiga musim bersama Yamaha.

“Sepanjang karier saya dalam MotoGP setakat ini, saya banyak berkongsi ‘kedudukan’ dengan empat pelumba – Valentino, (Ben) Spies, Dovi (Andrea Dovizioso) dan sekarang Marc.

“Situasi sekarang hampir sama apabila saya mula-mula menyertai MotoGP pada 2008.

“Pada waktu itu, Valentino berada di kemuncak prestasi, dia tidak menang (kejuaraan dunia) pada 2006 dan 2007 tetapi dia sentiasa bersaing memburu kejuaraan dunia kerana dia tahu apa yang perlu dilakukan.

“Ia mungkin lebih kurang sama dengan situasi saya sekarang apabila saya menyertai pasukan baharu, Marc merupakan seorang rakan sepasukan yang kuat dan dia juga tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sudah tentu situasi yang ada sekarang memberi kelebihan besar kepadanya,” kata Lorenzo yang turut menjuarai MotoGP pada musim 2012 dan 2015.

Bagaimanapun, Lorenzo berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk menyaingi Marquez yang berjaya merekodkan 44 kemenangan dalam kelas premier itu setakat ini.

“Saya akan sentiasa katakan dia (Marquez) sebagai satu fenomena. Saya perlu banyak belajar daripadanya musim ini.

“Saya hadir menyertai pasukan ini (Honda) dengan penuh rasa gembira dan bangga tetapi pada sama saya, saya dengan rendah diri mahu belajar setiap aspek dalam pasukan,” jelasnya.

Sementara itu, Marquez teruja untuk membentuk gandingan bersama Lorenzo biarpun mereka memiliki gaya tunggangan yang cukup berbeza.

“Bagi saya ia bukan satu masalah besar kerana apabila Dani menyertai pasukan, kami juga memiliki corak tunggangan yang berbeza.

“Apa yang penting, saya dan Jorge dapat bekerjasama dengan baik, sama ada di litar perlumbaan atau di luar litar perlumbaan. Kami cuba merealisasikan sasaran pasukan musim ini,” katanya.

Komen anda