Lorenzo tekad ulangi pencapaian terbaik 2013

211

PELUMBA baharu Repsol Honda, Jorge Lorenzo bertekad bangkit memperbaiki prestasinya pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) di Austin, minggu ini.

Lorenzo menyertai Honda selepas dua musim bergelut dengan prestasi ketika bersama pasukan Ducati. Namun, penampilannya pada awal musim ini tidak begitu baik selepas dia mengalami kecederaan.

Pada saingan pembuka tirai 2019 – GP Qatar, pelumba kelahiran Sepanyol itu sekadar menduduki tempat ke-13 sebelum dia meraih kedudukan ke-11 di GP Argentina.

Kini, Lorenzo bertekad untuk melakukan yang terbaik pada saingan di Circuit of the Americas (COTA) bersandarkan kejayaannya menjejakkan kaki di podium GP Amerika Syarikat sebanyak dua kali.

“Setelah gagal mendapat catatan yang terbaik di Argentina, saya kembali berusaha untuk meraih hasil yang cukup positif di Austin.

“Selepas dua perlumbaan awal musim ini, saya semakin memahami karakter jentera dan tidak sabar untuk turun menguji jentera. Kini kami semakin mendapat pelarasan yang sempurna pada jentera.

“Saya harap mampu menemui rentak terbaik kerana bukan mudah untuk mendapatkan keserasian dengan begitu cepat memandangkan keadaan fizikal saya yang baru pulih daripada kecederaan,” katanya.

Lorenzo optimis mampu mengulangi pencapaian terbaiknya di COTA apabila menduduki tempat ketiga pada edisi 2013 dan muncul naib juara musim 2016 ketika bersama pasukan Yamaha.

“COTA adalah salah satu daripada litar kesukaan saya dan lebih sesuai dengan gaya tunggangan saya. Meskipun litar ini dikatakan amat mencabar tetapi saya yakin mampu menawan COTA,” ujarnya.

Komen anda