Lorenzo terlepas ujian di Sepang

602

Juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo disahkan tidak akan menjalani ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang bulan depan selepas mengalami kecederaan patah pergelangan tangan ketika sesi latihan di Itali Sabtu lalu.

Ekoran insiden tersebut, pelumba kelahiran Sepanyol berusia 31 tahun itu yang kini bersama pasukan Repsol Honda perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital.

Dalam satu kenyataan, Honda memaklumkan Lorenzo yang pernah mengalami kecederaan pergelangan tangan selepas terjatuh ketika sesi latihan Grand Prix Thailand, Oktober lalu patah tulang tangan kirinya semasa menjalani latihan berhampiran Verona.

Menurut kenyataan Honda lagi, skru titanium telah dipasang di tangan bekas pelumba pasukan Movistar Yamaha dan Ducati Team itu dan dia kini berada di bawah pemantauan pihak hospital selama 24 jam.

“Jorge akan diberikan rehat selama empat hari dan tempoh itu cukup bagi membolehkannya pulih daripada pembedahan sebelum menjalani fisioterapi.

“Berikutan kecederaan yang dihadapinya, Repsol Honda akan mengetepikan Jorge daripada ujian di Sepang untuk fokus sepenuhnya bagi proses pemulihan. Sasarannya adalah untuk kembali cergas sepenuhnya bagi ujian di Qatar dari 23 hingga 25 Februari depan,” kata kenyataan Honda semalam.

Sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang dijadualkan dari 6 hingga 8 Februari depan.

Sebelum ini, rakan sepasukan Lorenzo, Marc Marquez turut berada dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan bahu bulan lalu.

Honda akan melancarkan jentera baharu pasukan itu bagi musim 2019 di Madrid, Sepanyol hari ini. Perlumbaan MotoGP 2019 bakal bermula di Qatar pada 10 Mac depan.

 

Komen anda