LTdL: Pasukan, pelumba tempatan menyerlah

147

PASUKAN dan pelumba tempatan seperti dijangka menyerlahkan bakat mereka di sebalik ketiadaan pasukan jelajah profesional dunia pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang berakhir dua hari lalu

Pada saingan dari 6 hingga 13 April itu, paling cemerlang adalah Team Sapura Cycling (TSC) menerusi ayam tambatan mereka, Benjamin Dyball yang berjaya merampas jersi kuning selaku juara keseluruhan LTdL daripada pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin yang memenanginya tahun lepas.

TSC yang mencatat masa 87 jam 55 minit dan 28 saat juga muncul pasukan kedua terbaik secara keseluruhan, hanya 1 minit dan 08 saat ketinggalan di belakang Floyd’s Pro Cycling (87:54:20s) dari Kanada selepas menamatkan perlumbaan sebanyak lapan peringkat meliputi jarak keseluruhan 1,225.8km.

 

Pencapaian tersebut satu keputusan membanggakan buat pasukan tempatan itu yang baru ditubuhkan tiga tahun lepas, pada jelajah berstatus 2.HC (Status Hors) menyaksikan penyertaan 132 pelumba daripada 22 pasukan dari seluruh dunia.

Pelumba tempatan TSC, Muhammad Zawawi Azman (29:21:41s) muncul pelumba terbaik negara apabila menduduki tempat ke-23 secara keseluruhan dan keempat Asia, diikuti pelumba Pasukan Kebangsaan Malaysia, Nik Mohd Azwan Zulkifle (28) dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (33) daripada TSC.

“Kejayaan ini boleh dicapai kerana kami bekerja keras. Apabila kalah, kami akan membuat post mortem untuk menentukan apa kelemahan kami dan apa perlu diperbaiki. Selepas ini, TSC berhasrat menyertai perlumbaan pada Jelajah Eropah yang lebih kompetitif,” kata pengurus pasukan Mohd Sayuti Zahit.

Sementara itu, TSG yang menduduki tempat ke-13 tahun lepas, berjaya melonjak ke tempat kesembilan dengan catatan 88:21:38s pada tahun ini, dengan Mohd Harrif Saleh berjaya mencatat kemenangan pada peringkat kedua dari Senawang ke Melaka, untuk muncul pelumba Malaysia kedua merasai kemenangan peringkat selepas Anuar Manan pada 2010.

Pelumba berusia 30 tahun itu juga meraih kedudukan ketiga di belakang rakan sepasukannya, Youcef Reguigui (nombor dua) pada peringkat keenam dari Bagan ke Alor Setar.

“Laluan tahun ini memang getir, terutamanya peringkat keempat di Genting Highlands. Saya sangat berpuas hati kerana selepas 10 tahun penyertaan dalam LTdL, akhirnya saya dapat juga memenangi satu peringkat. Ini membuktikan saya bukan sekadar jaguh kampung, setakat menang Sukan SEA.

“Saya berjaya buktikan pelumba Malaysia pun mampu bersaing dengan pakar pecut di kejohanan ini, seperti Matteo Pelucchi (Androni-Giocattoli Sidermec) dan Travis McCabe (Floyd’s Pro Cycling), yang boleh dikatakan nama-nama besar dalam dunia berbasikal apabila mereka pernah melakar kejayaan peringkat di Giro d’Italia dan Tour of Utah,” katanya.

Pujian juga harus diberikan kepada Pasukan Kebangsaan Malaysia yang mencatat keputusan kedua terbaik sejak LTdL diperkenalkan pada 1996, apabila meraih kedudukan ke-11 secara keseluruhan daripada 22 pasukan dan kedua terbaik Asia.

Pelumba pasukan itu, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri turut berjaya merangkul jersi putih (Pelumba Terbaik Asia) pada peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya, sebelum menamatkan saingan di tempat ke-41 secara keseluruhan dan ke-11 Asia.

Dari sudut penganjuran, penganjur bagi saingan kali ini, Human Voyage Sdh Bhd berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik untuk menganjurkan acara bertaraf dunia itu dalam masa yang singkat, sebulan setengah sejak mendapat pengesahan tarikh daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

‘Kepulangan’ Genting Highlands (selepas 2014) dan Pulau Langkawi (sejak 2015), yang menyaksikan buat kali pertama dua peringkat terakhir diadakan di tempat kelahiran LTdL, turut memeriahkan saingan kali ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan perlu diatasi seperti pengurusan logistik, proses pengisian minyak buat petugas, serta perancangan awal terutamanya apabila pergerakan ke Pulau Langkawi yang menyaksikan petugas terlibat terpaksa berebut untuk menaiki feri di Jeti Kuala Kedah.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa berkata, syarikat itu yang mendapat kontrak tiga tahun untuk menganjurkan LTdL, akan bekerja dari sekarang untuk memastikan kejohanan terbesar di Asia itu menjadi lebih baik pada tahun depan, apabila bakal meraih ulang tahun ke-25 pada 2020.

“Antaranya untuk menganjurkan perlumbaan ini pada tarikh lebih awal seperti pada Februari selepas Tour Down Under di Australia supaya dapat menarik lebih banyak pasukan Pro Tour menyertainya.

“Kita juga mempunyai perancangan ke Sabah dan Sarawak seperti dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tetapi mungkin kena tambah tempoh perlumbaan ke 10 hari dan perlu mendapatkan kelulusan daripada UCI,” katanya.

Komen anda