Magis Kento Momota julang Ampang Jaya BC

1633
Penampilan sulung Kento Momota tidak mengecewakan Ampang Jaya BC apabila memastikan kemenangan menjadi milik pasukannya 11-9 selepas dia menang 3-0 (11-8, 11-6, 11-6) menewaskan pemain Kepong BC, Soong Joo Ven.
Penampilan sulung Kento Momota tidak mengecewakan Ampang Jaya BC apabila memastikan kemenangan menjadi milik pasukannya 11-9 selepas dia menang 3-0 (11-8, 11-6, 11-6) menewaskan pemain Kepong BC, Soong Joo Ven.

KEHADIRAN pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota nyata tidak menghampakan apabila berjaya mencuri mata penting untuk membantu Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya BC menang dalam perlawanan SS Purple League (SSPL) 2018/19 di Gem In Mall semalam.

Dalam pertemuan tadi, Ampang Jaya BC hampir-hampir dikejutkan Kepong BC namun kemenangan mutlak Kento Momota dalam aksi perseorangan lelaki memastikan pasukannya berjaya mengecapi kemenangan kedua berturut-turut. Mereka mengatasi finalis musim lalu, Kepong BC 11-9.

Ampang Jaya BC terlebih dulu mencipta kemenangan menerusi pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menewaskan pemain Kepong BC, Lim Chi Wing 3-2 (9-11, 7-11, 11-4, 11-6, 5-4) dalam masa 30 minit.

Goh Jin Wei yang turun selepas itu dalam acara perseorangan wanita menjarakkan lagi pungutan mata kepada 6-3. Dia tidak bermasalah menundukkan pemain Kepong BC, Lin Jhih Yun 3-1 (11-10, 10-11, 11-8, 11-3).

Pasukan Ampang Jaya bagaimanapun tewas dalam acara beregu lelaki. Beraksi sengit dalam 30 minit tempoh permainan, gandingan Low Juan Shen- Lukhi Apri Nugroho tewas 2-3 (11-6, 5-11, 11-6, 9-11, 4-10) kepada pasangan Kepong BC, Lu Ching Yao- Yang Po Han. Keputusan itu membolehkan Kepong BC merapatkan mata kepada 8-6.

Pemain Ampang Jaya BC, Lee Zii Jia menewaskan pemain Kepong BC, Lim Chi Wing 3-2 (9-11, 7-11, 11-4, 11-6, 5-4) dalam perlawanan SSPL 2018/19 di Gem In Mall.

Perlawanan terus berlangsung rancak selepas itu apabila Kepong BC terus melakar kejutan dalam acara beregu campuran. Kali ini, Ampang Jaya yang diwakili Chan Peng Soon- Wong Kha Yan tewas 0-3 (10-11, 3-11, 7-11) kepada Mohd Arif Abdul Latif- Ng Wing Yung. Keputusan itu membuatkan Ampang Jaya BC pula ketinggalan 8-9 pungutan mata dalam perlawanan ini.

Apapun, kebangkitan Kepong BC digagalkan oleh pemain Ampang Jaya BC, Kento Momota yang turun dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki. Turun dalam debut pertama bersama Ampang Jaya BC dalam SSPL, Momota tidak mengecewakan apabila memastikan kemenangan menjadi milik pasukannya 11-9 selepas dia menang 3-0 (11-8, 11-6, 11-6) menewaskan Soong Joo Ven.

Aksi pemain Ampang Jaya BC, Goh Jin Wei ketika beraksi menentang pemain Kepong BC, Lin Jhih Yun dalam SSPL tadi. Jin Wei menang 3-1 (11-10, 10-11, 11-8, 11-3).

Kento Momota yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Peraturan aksi SSPL agak berlainan dengan kejohanan lain, jadi saya agak gementar pada mulanya namun berjaya memberikan persembahan terbaik hari ini.”

“Saya memperoleh pengalaman yang sangat bagus daripada format Purple League. Permainan dalam liga ini sangat pantas. Saya harap dapat gunakannya untuk memperbaiki aksi saya,”kata Momota.

Komen anda