‘Magnussen bukan pemandu liar’

177

Bos pasukan Haas, Gunther Steiner masih tidak faham mengapa Kevin Magnussen sering dibayangi kontroversi, baik di dalam mahupun di luar litar Formula 1 (F1).

Musim lalu, pemandu dari Denmark itu menerima kritikan dan kecaman hebat ekoran cara pemanduannya yang dikatakan cukup agresif sehingga membahayakan pemandu lain. Paling diingati insiden perlanggaran antara Magnussen dan Fernando Alonso pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Itali.

Sikap Magnussen di litar perlumbaan itu menyebabkan ada sesetengah pihak menganggap dia sebagai ‘pemandu liar’. Namun, Steine tidak percaya dengan ‘cakap-cakap luar’ mengenai dakwaan tersebut, sebaliknya dia tetap menyandarkan keyakinan kepada Magnussen bagi menggalas cabaran pasukan Haas musim ini.

“Mari kita betulkan kenyataan ini, dia (Magnussen) merupakan pemandu yang kurang menerima penalti,” kata Steiner merujuk fakta bahawa Magnussen hanya dikenakan dua penalti setakat ini.

“Kevin mendapat banyak reputasi yang buruk di luar sana dan ada persepsi yang mengatakan dia seorang yang liar. Ini semuanya tidak betul kerana lihat sahaja pada statistik dan fakta.

“Kita harus lebih objektif dan bukannya bersikap subjektif. Objektifnya ialah berapa banyak penalti yang dikenakan terhadap Kevin sepanjang dia memiliki lesen memandu setakat ini.”

Steiner juga menafikan laporan bahawa Magnussen sering bergelut dengan prestasinya pada pertengahan musim sebagaimana yang dilaluinya tahun lalu.

“Ada yang bercakap prestasi Kevin mulai merosot sebaik sahaja pertengahan musim. Sekali lagi saya tegaskan, apa bukti tentang dakwaan ini?

“Dia telah melakukan kerjanya dengan baik selepas pertengahan musim tahun lalu. Adakah prestasi baik sebelum pertengahan musim? Tidak tetapi saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan tentang perkara itu.

“Saya tidak rasa dia seorang yang liar seperti mana yang dianggap oleh orang luar. Dia seorang pelumba dan dia berjuang untuk memburu kemenangan. Itu sebabnya kami membayarnya kerana dia mampu memberikan kejayaan kepada kami,” ujarnya.

Steiner turut menafikan rakan sepasukan Magnussen, Romain Grosjean menghadapi krisis besar pada awal musim 2018 sebelum kembali bangkit pada GP Austria.

“Kita tidak perlu memperbesar-besarkan hal ini. Sekarang bukannya masa untuk melihat perkara yang sudah berlalu,” tegas Steiner.

“Apabila anda bercakap dengannya, tanya tentang kunci… dia telah kehilangan kunci. Setahu saya, dia sudah menjumpai kunci itu. Ia merupakan satu petanda yang positif.”

Barisan pemandu F1 2019:

1. Mercedes: Lewis Hamilton, Valtteri Bottas

2. Ferrari: Sebastian Vettel, Charles Leclerc

3. Red Bull: Max Verstappen, Pierre Gasly

4. RenaultcColor: Nico Hulkenberg, Daniel Ricciardo

5. Racing Point F1: Sergio Perez, Lance Stroll

6. HaascColor: Kevin Magnussen, Romain Grosjean

7. McLaren: Carlos Sainz Jr, Lando Norris

8. Sauber: Kimi Raikkonen, Antonio Giovinazzi

9. Toro Rosso: Daniil Kvyat, Alexander Albon

10. Williams: George Russell, Robert Kubica

Komen anda