Mahu sertai lebih banyak kejohanan sebelum Sukan SEA 2019

607

ATLET lompat bergalah negara, Iskandar Alwi berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat mengatur lebih banyak kejohanan bagi memastikan skuad olahraga negara berada pada prestasi terbaik sebelum menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata, beliau masih menunggu keputusan daripada jurulatih peribadinya, Mohd Mansahar Abdul Jalil berhubung penyertaannya selepas berakhirnya edisi pertama Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia selama dua hari yang bermula hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya masih tidak dimaklumkan mengenai penyertaan saya dalam mana-mana kejohanan dan saya akan berbincang dengan jurulatih (peribadi) saya selepas ini, namun saya berharap dapat pergi ke Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Qatar, bulan depan bagi memastikan saya berada pada prestasi terbaik sebelum beraksi pada Sukan SEA nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat acara berkenaan.

Iskandar sebelum itu meraih pingat emas selepas mencatat lompatan setinggi 5.20 meter pada kejohanan berkenaan.

Pingat perak dimenangi rakan sepasukannya, Mohammad Zakariya Minsuri dengan lompatan setinggi 4.50 meter, manakala tiada pingat gangsa dipertandingkan memandangkan hanya tiga peserta negara sahaja yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Catatan 5.20 meter yang dilakukan Iskandar, bagaimanapun, masih jauh daripada rekod kebangsaan, 5.31 meter yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan 2018.

Dalam pada itu, atlet lempar cakera wanita negara, Connie Choo Kang Ni berharap KOM dapat menghantarnya bertanding pada Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan, Mei ini memandangkan atlet terbaik Asia dilaporkan turut menyertai kejohanan berkenaan.

Beliau mengakui kekurangan kejohanan dan latihan pendedahan di luar negara menyebabkan atlet negara terpaksa berlatih di dalam negara.

“Setakat ini, saya hanya menjalani latihan di dalam negara, dan saya amat berharap dapat menyertai kejohanan luar negara terutamanya Terbuka Taiwan pada bulan Mei ini bagi memastikan saya dapat memperbaiki persembahan semasa saya.

“Saya difahamkan banyak atlet yang mencatat balingan melebihi 40 meter bakal bertanding pada Terbuka Taiwan,” katanya.

Choo sebelum itu meraih pingat emas selepas mencatat balingan sejauh 44.39 meter, manakala perak diraih atlet Korea Selatan, Hey Lim Jo (44.14 meter), dan wakil negara, Queenie Ting Kung Ni terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa (42.02 meter).

Komen anda