MAKAF jumpa Pesuruhjaya Sukan bincang isu undi tidak percaya

37
Nur Azmi Ahmad

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (MAKAF) sudah berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan, semalam, bagi mencari jalan penyelesaian mengenai isu 12 anggota gabungan melancarkan undi tidak percaya terhadap badan induk itu.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya juga sudah melantik peguam bagi mengendalikan kes tersebut.

“Saya tidak boleh beri banyak komen mengenai perkara ini kerana kita akan bincangkan dalam mesyuarat exco pada 24 Mei di Melaka. Kita akan buat sidang media keesokan harinya (25 Mei),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Sebelum ini, 12 anggota gabungan itu melancarkan undi tidak percaya terhadap badan induk tersebut, dengan cadangan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh, Perak, pada 9 Julai depan.

Undi tidak percaya itu dilakukan atas beberapa faktor, dan antara dakwaan mereka ialah MAKAF membenarkan ahli bukan gabungan untuk menyertai Kejohanan Kebangsaan di Serdang, Selangor, pada Februari lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Begitu juga dengan program latihan dan kejohanan yang tidak meyakinkan dalam membantu atlet negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, MAKAF sejak 2010 sehingga kini diterajui presiden, Tan Sri Mohd Ali Rustam, yang menewaskan pencabar, Datuk Clement Soo, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), tahun lepas.

Sementara itu, Nur Azmi berkata, pencapaian P Madhuri yang kini menduduki ranking pertama dunia dalam kategori kumite wanita 50kg bawah 21 tahun, memberi petanda baik bahawa Malaysia tidak ketandusan atlet berbakat dalam sukan itu bagi menggantikan ratu karate negara Syakilla Salni Jefry Krisnan pada masa depan.

Mengenai kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Nur Azmi berkata atlet negara berpeluang meraih tiket ke temasya sukan itu, andai berada dalam kelompok tiga terbaik pada Kejohanan Dunia di Paris dari 8 hingga 10 Mei tahun depan.

Jika mereka gagal berbuat demikian, peluang terakhir adalah muncul juara di Kejohanan Asia 2020 sebelum Persekutuan Karate Dunia (WKF) membuat pilihan dua atlet terbaik (masing-masing seorang atlet lelaki dan wanita) akan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, katanya.

Komen anda