MAKAF serahkan kepada Pesuruhjaya Sukan

38

JAWATAKUASA ad-hoc Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyerahkan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) sama ada meluluskan atau tidak mesyuarat agung dwitahunan (BGM) untuk sesi 2019-2021 yang telah diadakan kelmarin.

Presiden Karate Goshin-Ryu Malaysia Datuk Clement Soo yang telah dilantik pengerusi jawatankuasa ad-hoc selepas mesyuarat tersebut berkata, pada masa ini mereka akan mengambil alih pentadbiran Makaf sehingga PJS membuat keputusan mereka.

“Kita akan hantar keputusan BGM kepada Pesuruhjaya Sukan secepat mungkin, dan kami mematuhi perlembagaan Makaf ketika melaksanakan BGM.

“Jika pejabat Pesuruhjaya Sukan gagal untuk membuat keputusan, kemudian, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Sadddiq Syed Abdul Rahman),” katanya kepada pemberita selepas BGM.

Soo yang memulakan penubuhan Makaf sejak 1978, menyatakan bahawa jawatankuasa ad-hoc itu akan terus mempertahankan hak lima ahli gabungan, yang telah ditarik keahlian mereka oleh jawatankuasa eksekutif MAKAF.

Lima ahli gabungan tersebut ialah Persatuan Karate Wilayah Persekutuan/Putrajaya, Persatuan Karate Perak, Persatuan Karate Pahang, Persekutuan Karate Pulau Pinang dan juga Karate Goshin-Ryu Malaysia

Sementara itu dalam isu berasingan, Soo mempersoalkan mengenai sasaran empat emas yang ditetapkan Jawatankuasa Eksekutif Makaf untuk Sukan Sea Filipina 2019, kerana bagnya jumlah itu terlalu rendah berbanding yang mereka jangkakan kerana Malaysia telah menjadi satu pasukan yang dominan pada peringkat rantau ini, sejak beberapa edisi sebelum ini.

Setiausaha Agung Makaf Datuk Nur Azmi Ahmad dilaporkan sebagai berkata, mereka meletakkan sasaran empat emas di Sukan Sea 2019, iaitu masing-masing dua bagi kumite dan kata.

“Kebanyakan kami adalah orang teknikal dalam karate sejak dahulu dan kita seharusnya menjadi juara atau tempat kedua dalam Sukan Sea 2019. Kita pernah menjadi kuasa besar karate, namun kini kita ketinggalan berbanding lawan di rantau ini,” kata Soo.

Untuk rekod, MAKAF terpecah dua kem selepas 12 daripada 22 ahli gabungan, mengundi tidak percaya terhadap badan induk itu semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan di Ipoh pada 9 Jun lalu.

Presiden Persatuan Karate Putrajaya P.Thiagu mendakwa, beberapa isu melibatkan badan induk dan antaranya penyalahgunaan peruntukan badan tersebut untuk kepentingan peribadi, kegagalan MAKAF membantu atlet yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dan juga melakukan pelaburan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Tertinggi.

Komen anda