Malaysia juara bola sepak Olimpik Istimewa di India

111

LAPAN anak muda mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila menewaskan Korea dengan keputusan 7-2 pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Olimpik Istimewa 2019 di Chennai, India lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Pengurusnya, Dr Selvaraja Nadesan berkata, pencapaian meraih pingat emas di Kejohanan Bola Sepak Lima Sebelah itu adalah kejayaan terbesar sekali gus mengangkat golongan istimewa ini terutamanya di dalam bidang sukan.

Menurutnya, 15 negara menyertai kejohanan tersebut membabitkan pemain berusia 15 sehingga 40 tahun bermula 2 sehingga 7 Ogos lalu.

“Kejayaan ini adalah satu pencapaian yang cukup besar untuk pasukan bolasepak Olimpik Istimewa Kedah dalam mewakili negara di pentas antarabangsa bersaing dengan pemain-pemain istimewa dari seluruh dunia.

“Pasukan kita dibarisi pemain berusia antara 17 hingga 24 tahun dan mereka berjaya memberikan saingan yang baik kepada pemain yang lebih berusia terutamanya kepada pasukan tuan rumah, India di peringkat separuh akhir dan Korea pada perlawanan akhir,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia yang muncul juara kumpulan divisyen 1 selepas menewaskan Austria 9-0, membelasah Myanmar 10-0 sebelum diberikan saingan sengit oleh Bangladesh namun mereka berjaya meraih kemenangan 2-0.

Pada aksi separuh akhir, skuad negara berdepan pasukan tuan rumah, India namun status pasukan pilihan itu tidak memberikan sebarang masalah buat pasukan Malaysia apabila melakarkan kemenangan bergaya 5-0.

Dr Selvaraja yang juga Naib Presiden Olimpik Istimewa Kedah berkata, kemenangan di peringkat separuh akhir itu sememangnya membakarkan lagi semangat mereka untuk beraksi di pentas final sebelum menyingkirkan cabaran Korea 7-2 dengan gelaran juara.

Jelasnya, biarpun usaha mereka masih belum dikenali umum namun beliau berharap kejayaan tersebut mampu membuka mata pelbagai pihak terutamanya Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan dalam membantu pergerakan Olimpik Istimewa di negara ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said berkata, pihaknya mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian membanggakan tersebut dan pejabat exco akan mengadakan sambutan yang sesuai bagi meraikan kejayaan tersebut.

 

 

 

Komen anda