Malaysia mara ke suku akhir badminton campuran Asia

309
MALAYSIA melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2019 walaupun tumpas 2-3 kepada juara bertahan, China dalam aksi terakhir Kumpulan D di Hong Kong, semalam.

Pasukan negara menamatkan cabaran Kumpulan D selaku naib juara di belakang China yang memenangi kesemua dua perlawanan peringkat kumpulan.

Pada aksi di Stadium Queen Elizabeth semalam, China mendahului 1-0 selepas Han Chengkai-Zhou Haodong menewaskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani; 21-15 dan 21-19 dalam acara beregu lelaki, demikian menurut laman sesawang Badminton Asia; www.badmintonasia.org.

 

Skuad negara Tembok Besar itu menggandakan mata apabila pemain perseorangan wanita mereka, Han Yue mengalahkan Ying Ying; 21-17 dan 21-15 dalam perlawanan kedua.

Pemain muda negara, Cheam June Wei merapatkan kedudukan selepas mengatasi Lu Guangzu; 21-12 dan 21-17, namun China meraih mata kemenangan menerusi pasangan beregu wanita, Du Yue-Li Yinhui yang menumpaskan Lim Chiew Sien-Pearly Tan Koong Le; 21-11 dan 21-18.

Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, dalam pada itu menewaskan pasangan Chen Xiaofei-Ou Xuanyi; 21-13 dan 21-15, namun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan China selaku juara Kumpulan D.

Untuk rekod, Malaysia mengalahkan Macau 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, kelmarin.

Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A, Jepun, manakala China dijadualkan menentang naib juara Kumpulan C, Thailand dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung hari ini.

 

Komen anda