Malaysia United hanya nama alternatif PBMM

456
Firdaus Mohamed (kiri) menyampaikan ucapan alu-aluan di sebelah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi yang merasmikan mesyuarat agung tahunan PBMM ke-64 di Ampang.

BUKAN membuang langsung perkataan Melayu tetapi penjenamaan semula Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) dengan nama alternatifnya, Malaysia United ialah sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkasa perjalanan dan masa depan badan induk itu.

Ikrar ini ditegaskan Presiden baharu PBMM, Mohd Firdaus Mohamed selepas usul menambah nama baharu itu diluluskan perwakilan-perwakilan ahli gabungan persatuan pada mesyuarat agung tahunan ke-64 di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

“Langkah ini juga ke arah penambahbaikan persatuan sejajar saranan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia) malah dasar Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang kerap menolak semangat perkauman atau rasis dalam bola sepak.

“Penambahan Malaysia United akan membolehkan semua pihak terlibat bekerjasama dengan kami apatah lagi kejohanan anjuran tahunan kami, Piala Emas Raja-raja sendiri sudah disertai ramai pemain bukan Melayu,” katanya yang memenangi pemilihan pucuk pimpinan PBMM penggal 2019-2021.

Beliau menambah, penggunaan Malaysia United setelah diluluskan Pesuruhjaya Sukan nanti, mirip Selangor United sebagai nama alternatif Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) – ahli gabungan PBMM yang kini beraksi dalam Liga Perdana 2019.

Asalnya ketika terjun ke kancah Liga FAM 2016, pasukan ini bergelar PBMM kemudian PBMS pada 2017 sebelum dijenamakan semula kepada Selangor United yang muncul naib juara Piala FAM 2018.

Firdaus yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Malaysia United turut akan terus bekerjasama dengan badan induk kebangsaan itu dalam melahirkan lebih ramai bakat bola sepak tempatan.

“Kami juga sedia memberikan kebenaran kepada ahli-ahli gabungan seperti negeri-negeri sekiranya mahu menambah nama United apabila menubuhkan pasukan dalam liga anjuran FAM,” katanya.

Beberapa pasukan Liga-M juga didapati cenderung menggunakannya seperti Felda United, Melaka United dan yang terbaharu, Kelantan United (sebelumnya MPKB-BRI Ubes) dalam Liga FAM.

SENARAI PRESIDEN PBMM
Dr Abbas Alias
Raja Shahriman Raja A. Hamid
Tunku Abdul Rahman Putra
Datuk Zainal Abidin Abbas
Tan Sri Abdul Jamil Rais
Datuk Senu Abdul Rahman
Datuk Abdul Samad Idris
Datuk Hamzah Abu Samah
Datuk Sabaruddin Chik
Datuk Syed Ahmad Syed Kuning
Datuk Ahmad Basri Mohd. Akil
Datuk Ibrahim Saad
Datuk Takiyuddin Hassan
Datuk Izuddin Ishak
Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat
Mohd. Firdaus Mohamed
*PBMM juga pernah dikenali sebagai Persatuan Sepakbola Melayu Semenanjung

Komen anda