Malaysian Tigers akur kekuatan Belanda

30
KUALA LUMPUR, 15 Dis -- Reaksi Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan Roelant Oltmans selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 setelah menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar India hari ini. Skuad kendalian Roelant Oltmans hanya sekadar menduduki tempat terakhir dalam saingan peringkat kumpulan.
--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SKUAD hoki negara sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan dan pengalaman yang dimiliki pasukan Belanda apabila tewas 2-6 pada aksi ujian keempat dalam Siri Jelajah Eropah malam tadi.

Ia juga merupakan kekalahan kedua buat skuad kendalian Roelant Oltmans itu selepas tumpas 4-6 pada aksi pertama Selasa lalu menentang pasukan ketiga terbaik dunia tersebut.

Pada aksi di Breda, Belanda itu, Malaysian Tigers terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi gol padang penyerang muda negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Bjorn Kellerman meletakkan Belanda di hadapan dengan dua jaringan pada minit kelapan dan minit ke-19.

Belanda seterusnya menambah gol ketiga beberapa saat sebelum tamat aksi separuh masa pertama hasil gol padang Jeroen Hertzberger yang berkesudahan dengan keputusan 1-3 berpihak kepada pasukan lawan.

Bersambung di babak kedua, Belanda menjaringkan gol padang keempat melalui Billy Bakker pada minit ke-33 dan berselang empat minit kemudian, giliran Jelle Galema pula melebarkan jurang jaringan.

Malaysia cuba untuk bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-52 apabila Mohamad Akhimullah sekali lagi mencatat nama selaku penjaring skuad negara namun Bjorn Kellerman menidakkan usaha Malaysian Tigers untuk cuba merapatkan kedudukan dengan meledak jaringan hatrik dua minit sebelum perlawanan berakhir untuk keputusan 6-2 berpihak kepada tuan rumah.

Oltmans menerusi kenyataan media oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyifatkan kebuntuan untuk menterjemahkan 15 percubaan dalam separuh masa pertama menyebabkan mereka dihukum pasukan lawan.

“Kami beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi kami tidak menggunakan 15 percubaan yang dimiliki dengan sebaiknya sementara lawan kami berjaya menggunakan peluang mereka untuk menjaringkan gol. Belanda adalah pasukan yang pastinya akan menghukum lawan menerusi setiap kesilapan yang dilakukan.

“Tetapi apa yang penting untuk kami adalah belajar daripada kesilapan serta kelemahan pada perlawanan ini dan tunjukkan satu peningkatan pada dua perlawanan terakhir kami dalam Siri Jelajah ini iaitu bertemu Belgium,” katanya.

Malaysia masih mempunyai baki dua lagi aksi ujian bertemu pasukan di ranking kedua dunia, Belgium (jam 12 tengah malam ini) dan pada Isnin, menentang pasukan yang sama. – Bernama.

Komen anda