Malcom, Jake Putri dan Natasha kongsi selaku pendahulu pusingan kedua Golf Amatur Terbuka Malaysia

90
Malcolm Ting

 

PEMAIN Golf negara, Malcolm Ting mengekalkan rentak  cemerlang apabila mencatatkan 70 pukulan, dua di bawah par untuk kekal mendahului walaupun di beri saingan sengit oleh Jake William Hughes dari Australia yang mencatatkan 69 pukulan, tiga di bawah par di pusingan kedua Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke-117 di Kelab Golf Sarawak, Kuching.

Memulakan saingan pusingan kedua dengan catatan 33 pukulan, tiga di bawah par pada sembilan lubang pertama, Malcom ternyata hampir menamatkan pusingan tanpa ‘bogey’, namun tragedi di lubang 18 memaksa beliau akur dengan catatan 70 pukulan,  empat di bawah par secara keseluruhan untuk kekal selaku pendahulu saingan.

Walaupun kecewa dengan catatan ‘double bogey’ di lubang terakhir, Malcolm tetap berpuashati apabila berjaya menyerap segala tekanan, meskipun sedar  saingan yang dihadapi daripada pemain lain.

“Saya melakukan banyak pukulan yang baik dan amat berpuas hati dengan ‘putting’ saya pada hari ini. Walaupun kecewa dengan catatan ‘double bogey’ di lubang 18, saya mengambilnya sebagai satu pengajaran yang berharga untuk lebih bijak menyerap tekanan” jelasnya.

Berkongsi selaku pendahulu, Jake William Hughes dari Australia yang melakukan catatan 69 pukulan, tiga di bawah par, berbanding 71 pukulan, satu bawah pada pusingan pertama.

Jake yang membenam lima birdie  seharusnya mencatatkan keputusan lebih baik jika tidak dihukum dengan catatan dua ‘bogey’ di lubang ke sepuluh dan enam belas.

Seramai 74 pemain lelaki berjaya melepasi ‘cutt’ yang ditetapkan pada 14 di atas par untuk beraksi di pusingan ketiga esok.

Natasha Andrea Oon

Sementara itu dalam kategori wanita pula, atlet negara, Natasha Andrea Oon menggunakan segala pengalamannya untuk terus memberi saingan kepada pendahulu pusingan pertama yang juga rakan sepasukannya, Putri Alyaa Ghanny.

Natasha berjaya melakukan 67 pukulan, untuk jumlah keseluruhan tujuh di bawah par, mendahului bersama Putri  Alyaa Ghanny yang melakukan 69 pukulan pada pusingan kedua hari ini.

Natasha bermula garang dengan melakukan empat ‘birdie’ berturu-turut di lubang 1,2,3 dan 4, sebelum membenam  dua lagi ‘birdie’ di lubang enam dan 10.

Begitupun catatan ‘bogey’ di lubang ke 18 menghalang Natasha untuk menampilkan aksi cemerlang di pusingan kedua.

“Permulaan yang baik di empat lubang pertama memberi saya semangat dan keyakinan. Saya dapat membaca green dengan baik pada hari ini dan ‘putting’ yang sempurna membolehkan saya membenam lima ‘birdie’, dan saya amat berpuas hati,” ujar Natasha yang menuntut di Universiti San Jose State, Amerika Syarikat.

Putri Alyaa Ghanny

 

Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke 117 berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini di Kelab Golf Sarawak dengan menyaksikan kategori lelaki beraksi di lapangan Matang/Santubong, Par 72, 6423 meter manakala kategori wanita beraksi di lapangan Siol/Demak, Par 72, 5485meter.

Kejohanan anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA), diuruskan oleh Persatuan Golf Sarawak dengan tajaan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019.

 

Komen anda