‘Mana ada main belakang’ – Abdul Rauf sangkal dakwaan Selangor guna taktik kotor

2984

PENGURUS Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad menafikan pihaknya menggunakan pintu belakang untuk mendapatkan Syazwan Andik Ishak dari pasukan Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata demikian susulan tersebarnya gambar Syazwan duduk semeja dengannya dan penolong pengurus, Nazab Hidzan baru-baru ini yang mencetus spekulasi ramai pihak hingga ada yang mengatakan Selangor cuba mempengaruhi bintang muda berusia 22 tahun itu.

 

Jelas Abdul Rauf, spekulasi itu sama sekali tidak berasas kerana pertemuan di sebuah gerai itu bukanlah dirancang, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan.

 

“Gambar itu diambil selepas aksi persahabatan di antara Selangor dan Kuala Lumpur sebelum ini. Kebetulan, kami minum di gerai itu dan Syazwan bersama rakan-rakannya juga ada di situ.

 

“Syazwan tiba-tiba datang berjumpa kami untuk berbual kosong. Tidak timbul isu kata kami cuba guna pintu belakang,” katanya ketika dihubungi.

 

Ditanya tentang butiran perbualan itu, Abdul Rauf berkata, pihaknya hanya menasihati Syazwan soal kariernya dengan Kuala Lumpur.

 

“Syazwan minta nasihat kami tentang masalahnya dengan Kuala Lumpur termasuk soal gaji dan keinginannya untuk bersama Selangor.

 

“Kami hanya beri nasihat untuk dia bersabar dan hormati kontrak. Kami mahu dia habiskan dahulu kontraknya dengan KL dan berkaitan soal gaji kami juga nasihatkan dia supaya tidak membandingkannya dengan rakan-rakan yang lain. Kami tak nak dia jadi seperti Akhyar.

 

“Dia kena faham yang dia masih muda. Masih ada banyak masa untuk dia membuktikan bakat yang ada padanya bukan hanya untuk kelab tetapi juga untuk pasukan kebangsaan. InsyaALLAH, jika dia terus menunjukkan kecemerlangan, rezekinya akan lebih melimpah ruah di kemudian hari.

 

“Jadi, pokok pangkalnya kami tidak ada sekelumit niat untuk mempengaruhi Syazwan, sebaliknya dia hanya minta nasihat tentang kariernya memandangkan saya dan Nazab juga merupakan bekas pemain.

 

“Tentang apa yang ditulis Nazab di laman sosialnya, saya tidaklah tahu sangat, tapi saya yakin ia tidak serius seperti yang cuba dispekulasi sesetengah pihak,” katanya lagi.

Komen anda