Manchester United tak sabar sambar trofi EPL

39

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tanpa berselindung mengakui The Red Devils kini mampu bersaing untuk merebut trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mendapatkan Harry Maguire dari Leicester City.

Maguire secara rasmi menyertai United dari The Foxes dengan rekod pemain pertahanan termahal di dunia iaitu £80 juta (RM409.2 juta), sekali gus menewaskan tonggak, Liverpool Virgil van Dijk dengan nilai £75 juta (RM383.7 juta).

“Dia (Maguire) merupakan salah seorang pemain pertahanan terbaik ketika ini dan kami berbesar hati untuk mengalu-alukannya di kelab ini.

“Kehadirannya memberikan lebih kekuatan untuk kami mengejar kejuaraan EPL. Dia sangat hebat dalam membaca permainan selain fizikal yang kuat sebagai seorang pertahanan,” kata Solksjaer yang turut mengesahkan Maguire menandatangani kontrak enam tahun dengan pilihan lanjutan setahun.

Solskjaer turut menyifatkan pemain kelahiran England itu mampu membantu United mengerakkan serangan daripada bawah – elemen yang tidak ada dalam corak permainan pertahanan tengah United selama ini.

“Selain Victor Lindelof, boleh dikatakan tidak ada seorang pun dalam pasukan yang mampu menjadi pemain pertahanan tengah moden iaitu yang mampu memegang bola dan memulakan serangan dari arah belakang,” ujarnya.

Maguire pula mengakui teruja untuk bermain bersama gergasi England itu, namun dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada kelab lamanya.

“Saya gembira dapat menyertai kelab hebat ini. Saya juga menikmati karier saya di Leicester dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab dan peminat atas sokongan padu mereka sepanjang dua musim lalu

“Daripada perbualan saya dengan pengurus, saya tertarik dengan visi dan perancangannya. Ia amat jelas yang Solskjaer sedang membina pasukan untuk memenangi trofi,” jelasnya.

Komen anda