Maninderjit: Malaysian Tigers kena berharap jumpa Kanada

94

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

MALAYSIA perlu berharap diundi berdepan pasukan ranking ke-10 dunia, Kanada dalam undian Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan awal bulan depan.

Bekas pemain negara, Maninderjit Singh berkata, Malaysian Tigers mempunyai peluang lebih baik jika diundi menentang Kanada berbanding beberapa pasukan lain seperti Jerman, Sepanyol dan New Zealand.

“Bagi saya, perjuangan cukup sukar buat pasukan negara apatah lagi perlu berhadapan dengan pasukan dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.

“Namun, kita sudah tiada pilihan kerana kita tidak menggunakan kesempatan untuk layak lebih awal ketika Sukan Asia 2018.

“Peluang mungkin ada jika kita bertemu Kanada tetapi harus diingat perlawanan kelayakan itu nanti akan berlangsung di tempat lawan. Siapa saja lawan kita, ia akan menjadi sangat sukar,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Pada sesi undian Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti, Malaysian Tigers hampir pasti diletakkan dalam Balang 3 bersama-sama Ireland, Perancis dan Korea Selatan.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu bakal diundi bertemu wakil daripada Balang 2 – pasukan yang menghuni ranking ketujuh hingga kesepuluh dunia iaitu Jerman, Sepanyol, New Zealand dan Kanada.

Malah, Malaysian Tigers perlu memikirkan satu lagi kemungkinan selepas England juga dijangka diletakkan dalam Balang 2 selepas Jerman meraih tempat keempat Kejuaraan Eropah dan berada satu anak tangga lebih tinggi berbanding lawannya dari Eropah itu.

Mengulas lanjut, Maninderjit berkata, siapa sahaja lawan Malaysian Tigers nanti, pasukan itu akan mempunyai kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri.

“Sama ada Jerman, Sepanyol, New Zealand mahupun Kanada, pasukan-pasukan itu ada kelebihan kerana mereka bermain di tempat sendiri dan sudah tentu sangat arif dengan keadaan cuaca di negara masing-masing.

“Malah, saya khuatir kerana Malaysia akan bermain dalam tekanan kerana pasukan lawan berada pada ranking yang lebih baik. Namun, apa sekalipun saya mengharapkan undian nanti akan memihak pasukan negara,” jelasnya.

Komen anda