Marquez puji jentera baharu Honda

216

Juara dunia MotoGP, Marc Marquez tidak kecewa selepas gagal menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail, Doha kelmarin.

Sebaliknya, Marquez memberi pujian kepada pasukannya kerana membangunkan enjin ‘berkuasa tinggi’ sehingga dia mampu memberi saingan sengit kepada pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang sekali lagi menjuarai perlumbaan GP Qatar.

Seakan-akan ulangan persaingan GP Qatar musim lalu, Marquez dilihat hampir menjuarai saingan di Doha kali ini apabila dia dan Dovizioso saling bertukar kedudukan selaku pendahulu sehingga pusingan terakhir.

Bagaimanapun, tuah lebih memihak Dovizioso apabila dia terlebih dulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa hanya 0.023 saat (s) mendahului pelumba sensasi Repsol Honda itu.

Ia seperti menyaksikan pertembungan ulangan membabitkan kedua-dua pelumba itu di Doha musim lalu apabila Dovizioso mengatasi Marquez dengan perbezaan masa 0.027s.

Sekalipun sekali lagi terpaksa akur dengan kepantasan Dovizioso, Marquez masih ada sebab untuk berasa gembira kerana kelajuan jenteranya kali ini mencapai 352.0 km/jam berbanding 347.2 km/jam musim lalu.

“Enjin jentera yang digunakan sekarang memberikan saya kedudukan di tempat kedua. Saya percaya jentera pasukan ini semakin menunjukkan tanda-tanda positif.

“Kami memerlukan sedikit lagi penambahbaikan bagi meningkatkan kelajuan jentera Honda. Setiap individu dalam pasukan ini sedang bekerja keras ke arah itu,” katanya.

Komen anda