Marquez terpantas hari pertama

694

PELUMBA Repsol Honda Team, Marc Marquez mencatat masa sepusingan terpantas pada hari pertama ujian pra-musim sejuk Kejuaraan MotoGP 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Pelumba dari Sepanyol itu yang akan menyambut hari jadinya ke-26 pada 17 Feb ini, menggandakan kepantasan di pertengahan ujian untuk mencatat masa terpantas satu minit 59.621 saat, mengatasi rakan senegaranya, Alex Rins daripada Team Suzuki Ecstar yang ketinggalan 0.259 saat.

Juara dunia tersebut yang baru pulih daripada pembedahan di bahu kirinya semasa cuti musim sejuk lepas, mencatat masa terpantas dalam keadaan cuaca panas terik pada pusingan ke-26 daripada keseluruhan 29 pusingan dilakukannya di litar sejauh 5.543 kilometer itu.

“Saya sangat gembira dapat menunggang semula selepas rehat panjang semasa musim sejuk, namun saya menjangkakan dapat melakukan lebih baik lagi. Saya masih tidak mempunyai sepenuh tenaga, untuk satu atau dua pusingan masih lagi boleh tetapi saya terpaksa menukar gaya tunggangan bagi mengimbanginya.

“Kami berhenti lebih awal supaya saya mendapat rehat yang cukup untuk ujian seterusnya, masih ada dua hari lagi dan kita akan lihat apa berlaku,” kata Marquez.

Beliau juga berkata pasukannya sedang berusaha menyediakan jentera terbaik bagi menghadapi kejuaraan musim ini.

“Motosikal ini sudah berada dalam keadaan baik, namun masih banyak lagi perlu dilakukan sebelum (Grand Prix) Qatar,” katanya.

Suhu di Litar Sepang mencecah sehingga 56 darjah celsius pada tengah hari, dan menurun ke 49.2 darjah celsius pada penghujung sesi ujian tersebut.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Marverick Vinales mewakili Monster Energy Yamaha MotoGP di kedudukan ketiga dengan catatan 1:59.937s, manakala rakan sepasukannya dan juara dunia tujuh kali kelas utama kejuaraan itu, Valentino Rossi dari Itali di tempat keenam dengan masa 2:00.054s.

Sementara itu, pelumba pasukan MotoGP milik Malaysia, Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli (Itali) dan Fabio Quartararo (Perancis), masing-masing mencatat masa terpantas 2:00.460s dan 2:00.985s.

Pelumba tunggal negara dalam saingan MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah daripada Red Bull KTM Tech 3, menduduki tempat tercorot pada sesi ujian itu selepas mencatat 2:01.853s.

Ujian pra-musim sejuk selama tiga hari itu berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang, dan akan diteruskan esok. – Bernama

Komen anda