Martinez tabik mentaliti Hazard

101

PENGURUS Belgium, Roberto Martinez memuji mentaliti pemainnya, Eden Hazard yang tidak terganggu dengan perpindahan mega ke Real Madrid apabila membantu Belgium mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kazakhstan dalam aksi Kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Hazard yang membuat penampilan ke-100 bersama skuad kebangsaan mencipta bantuan gol kepada jaringan pertama Dries Mertens dan seterusnya Timothy Castagne dan Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan bergaya Belgium dalam aksi kumpulan I itu.

“Situasi yang benar-benar hebat. Pada awalnya saya khuatir Hazard akan terganggu dengan berita perpindahan yang timbul sejak akhir-akhir ini.

“Tetapi ternyata ia tidak berlaku. Ia sangat menakjubkan buat Hazard kerana dia menunjukkan sifat profesional dan mampu memberikan persembahan terbaiknya.

“Saya berharap prestasi cemerlangnya akan terus kekal tak kiralah bersama kelab mahupun pasukan kebangsaan,” katanya.

Mengulas lanjut kemenangan bergaya pasukannya, Martinez berkata, faktor taktikal telah membantu pasukannya menundukkan Kazakhstan di Brussels.

“Kazakhstan beraksi cemerlang ketika bertemu Scotland sebelum ini. Jadi kami terpaksa melakukan sedikit perubahan dalam taktikal.

“Saya gembira kerana pada akhirnya semua berjalan lancar dan kini fokus kami terarah kepada mempertahankan kedudukan pendahulu kumpulan ini,” ujarnya.

Komen anda