Masa depan Coutinho di Nou Camp semakin samar

143

MASA depan Philippe Coutinho bersama Barcelona makin samar selepas pemain Brazil itu dilaporkan bakal dijadikan pertukaran untuk membawa bintang Paris Saint Germain (PSG), Neymar ke Nou Camp.

Setelah dua musim bersama gergasi La Liga itu, prestasi Coutinho belum berada pada tahap memuaskan selepas dibeli daripada Liverpool dan menjadi antara pembelian termahal dalam sejarah kelab berkenaan.

Malah, untuk mendapatkannya, Barcelona perlu menunggu lama sebelum dilepaskan oleh Liverpool dan pemain berusia 28 tahun itu hanya mampu menjaringkan 21 gol daripada 76 penampilan buat kelab itu, prestasi yang dianggap tidak berbaloi dengan harga pembelian.

Ejen Coutinho, Kia Joorabchian nyata kecewa dengan layanan yang diberikan kepada kliennya itu selain berasa dipermainkan oleh pengurusan kelab.

“Sebelum ini, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu menegaskan tidak mahu menjual Coutinho. Sebab itu saya dengan penuh rasa hormat tidak mempromosikan klien saya kepada kelab lain.

“Namun, penasihat kelab, Andre Curry memberi kenyataan yang berbeza dan memaksa Coutinho diletakkan dalam senarai pemain untuk dijual.

“Seperti yang saya katakan, Coutinho tidak menerima tawaran daripada kelab lain kerana menghormati keputusan Barcelona, tetapi mereka tidak menepati janji kepada kami. Kami sudah lama berdiam diri dan itu bukan bermakna kelab boleh berbohong kepada kami,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat laporan bahawa Barcelona sudah lama mahu menjual kliennya itu, namun masih belum berjaya kerana faktor harga yang terlalu tinggi dan menyukarkan kelab lain untuk membeli pemain itu.

“Pengurusan kelab perlu jujur jika mahu Coutinho pergi. Saya akan memutuskan masa depan yang terbaik untuknya,” katanya.

Komen anda