Masih terlalu awal buat andaian

143
Foto: FB Badminton Association of Malaysia - BAM

ZURAIMEE ZAINAL

BEKAS pemain badminton negara, Roslin Hashim menyifatkan tidak adil jika ada yang menganggap peluang Malaysia untuk meraih emas pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tipis, hanya selepas kecundang 0-5 kepada China pada saingan Kumpulan D Piala Sudirman 2019 di Nanning, China kelmarin.

Menurutnya, sukar untuk menilai prestasi sebenar barisan negara ketika ini berdasarkan senarai gandingan pemain senior dan junior yang dihantar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada kejohanan kali kali.

“Susah untuk mengatakan misi membawa pulang emas dari Tokyo 2020 nanti seakan-akan pudar hanya berdasarkan penilaian prestasi menentang China semalam (kelmarin).

“Ini kerana untuk pemain yang layak ke Tokyo 2020 nanti akan ada juga dalam kalangan pemain negara yang tidak mengambil bahagian pada Piala Sudirman.

“Jadi untuk kita mengukur keupayaan skuad negara berdasarkan pemain pada Piala Sudirman ini adalah tidak adil. Ini kerana mungkin yang bermain pada Piala Sudirman tidak layak ke Tokyo disebabkan ketika ini masih lagi dalam proses mengumpul mata ke Olimpik,” katanya.

Pada masa sama, Roslin berkata, beliau tidak terkejut dengan kekalahan kepada China kerana sebelum ini BAM tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan berpasukan campuran berkenaan.

“Cumanya kita puji prestasi dipamerkan (beregu lelaki) Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang sebenarnya hampir mendapatkan mata pertama negara tetapi mungkin dari segi pengalaman dan tuah yang lebih sedikit berpihak kepada pasangan China. Secara keseluruhannya, permainan mereka amat baik sekali.

“(Perseorangan wanita) Soniia Chia juga permainan dia cukup baik pada set kedua, cuma yang menghalang kemaraannya pada set ketiga adalah kecergasan dan ketahanan dia ketika beraksi dalam rally yang panjang, itulah penghalangnya. Bagi kategori lain cukup amat mendukacitakan,” ujarnya.

Mengenai prestasi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jeng, Roslin menyifatkan mereka bukan dalam prestasi sebenar pada pertemuan dengan China itu.

“Apa yang saya dapat lihat semangat untuk menang dalam kalangan mereka untuk perlawanan berkenaan agak kurang. Dari segi game plan, mereka seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan masing-masing,” katanya.

Ekoran kekalahan kepada China, Malaysia turun dengan misi ‘wajib menang’ pada aksi kedua Kumpulan D menentang India hari ini bagi mengesahkan tiket suku akhir.

Komen anda