Masters Thailand: V Shem, Wee Kiong mula langkah kanan

370

BEREGU lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memulakan saingan awal tahun ini dengan langkah kanan selepas mara ke pusingan kedua Kejohanan Masters Thailand hari ini.

Turun selaku pemain pilihan utama, V Shem-Wee Kiong hanya mengambil masa 27 minit menewaskan beregu tuan rumah Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dengan 21-13, 21-15 pada pusingan pertama.

Turut mara ke pusingan seterusnya adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut cemerlang mengalahkan Tuan Duc Do-Hong Nam Pham dari Vietnam, 21-10, 21-7 dalam masa 20 minit, menurut laman sesawang kejohanan bwf.tournamentsoftware.com.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei terpaksa bergelut hampir sejam menundukkan Ihsan Maulana Mustofa dari Indonesia, dengan 21-18,11-21, 21-15. Beliau akan bertemu pemain tuan rumah Pannawit Thongnuam esok.

Jaguh badminton terkemuka, Lin Dan turun selaku pemain pilihan pertama kejohan itu turut berdepan tentangan hebat daripada pemain tuan rumah Kunlavut Vitidsarn untuk memenangi perlawanan dengan 21-14, 11-21, 21-12 dalam masa 54 minit.

Dalam pada itu nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan wanita negara , Lee Ying Ying yang tewas kepada Fitriani dari Indonesia dengan 21-18, 9-21, 21-23. – Bernama

Komen anda