Masuk percuma aksi Bos Gaurus, Lang Merah

373
Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) membuat kejutan dengan membenarkan penyokong The Bos Gaurus memasuki Stadium Perak secara percuma untuk menyaksikan Perak berdepan Kedah dalam aksi Liga Super, malam ini
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penyokong boleh mendapatkan tiket berkenaan bermula jam 9 pagi ini di kaunter tiket stadium.
“Saya mengajak penyokong Perak datang ke stadium memberi sokongan kepada pasukan kita, dan kemasukan adalah percuma,” katanya menerusi satu klip video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, di sini semalam.
Dalam klip video berdurasi 1.08 minit itu, Ahmad Faizal turut menyanyikan sebuah lagu sebagai semangat untuk skuad Perak.
Pertembungan antara Perak dan Kedah yang bermula jam 9 malam adalah perlawanan kedua Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan.
Pada aksi pertama Liga Super, Perak gagal mengutip mata penuh apabila tumpas 0-1 ditangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin manakala Kedah berjaya membenam PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Lumut. – Bernama

Komen anda