MCKK Premier 7s: MCKK bermula langkah kanan

1285

KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuka tirai kejohanan ragbi MCKK Premier 7s dengan penuh yakin apabila mengatasi Sabah College Kota Kinabalu (SCKK) 36-0 dalam kumpulan C  petang tadi.

Turun dengan misi besar untuk mendakap semula trofi NJ Ryan kali ini, try pertama MCKK hadir melalui Muhammad Harithshah Kaharudin untuk pasukan mereka mendahului SCKK 5-0. Selepas itu, Muhammad Danial Ishkandar berjaya menjarakkan kedudukan buat MCKK di depan 10-0 menerusi try kedua.

Adam Danial terus cemerlang untuk meletakkan MCKK terus selesa apabila larian derasnya terus menghukum barisan pertahanan SCKK untuk try ketiga menjadikan tuan rumah mendahului 15-0.

Harithshah sekali lagi melakukan try keempat disusuli conversion sekaligus meletakkan MCKK semakin kukuh dengan kedudukan 22-0.

Sebelum babak pertama berakhir, Harithshah terus menjadi duri dalam daging apabila menyempurnakan try kelima pasukannya diikuti conversion untuk MCKK di depan 29-0 mengakhiri babak pertama.

Mendapat sokongan penuh, MCKK yang kali terakhir unggul sebagai juara pada 2013 terus garang di babak kedua. Hasilnya Muhammad Isyraf Rosli mendapatkan satu lagi try disusuli coversion untuk MCKK mengutip kemenangan pertama, 36-0 di halaman sendiri.

Ketua jurulatih MCKK, Mohd Romli Saad berkata, “Alhamdulilah kemenangan pertama akan menyuntik lagi semangat pemain untuk aksi seterusnya. Kalau ikutkan, selalunya pasukan ini sering muncul empat pasukan terbaik.”

“Skor yang banyak diperoleh hari ini juga akan menjadi suntikan moral pemain untuk beraksi lebih baik. Sebagai tuan rumah, sudah pastinya ada tekanan sendiri kerana harapan tinggi diletakkan kepada kami.

“Saya yakin dengan pemain saya sendiri, lagipun mereka sudah berada di tingkatan lima, jadi saya harap mereka akan hadirkan sesuatu untuk saingan tahun ini,” katanya selepas perlawanan.

Keputusan lain menyaksikan SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) juga memulakan perlawanan dengan bergaya dalam kumpulan A apabila menewaskan SMK King Edward VII (KEVII) 19-0.

Manakala aksi kumpulan B pula menyaksikan, SM Sultan Abdul Halim (SEMSAH) menang 21-5 ke atas Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOMB) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) menang 15-10 mengatasi SM Sains Pokok Sena (SAINA) dalam pertemuan kumpulan D.

Sementara itu dalam kumpulan E, SM Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) menewaskan SMK King George V (KGV) 19-2 dan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) mengatasi SMK Abi (ABI) 10-0 dalam kumpulan F.

Keputusan Penuh MCKK Premier 7s (Hari ini):

Kumpulan A: SHOAW 19-0 KEVII

Kumpulan B: INTEGOMB 5-21 SEMSAH

Kumpulan C: MCKK 36-0 SCKK

Kumpulan D: STAR 15-10 SAINA

Kumpulan E: KGV 12-19 SEMASHUR

Kumpulan F: ABI 0-10 SDAR

Komen anda