McLaren harus berani tanggung risiko

84
McLaren perlu berani tanggung risiko untuk lebih meningkat sepanjang musim ini.

MCLAREN harus berani tanggung risiko jika mahu terus berjaya dalam perlumbaan dunia Formula 1 (F1).

Prinsipal Pasukan McLaren, Andreas Seidl berkata, selepas menunjukkan peningkatan yang jauh lebih baik musim ini berbanding musim lalu, pasukannya tidak boleh kekal di zon selesa sebaliknya perlu mencabar diri dalam menunjukkan peningkatan yang lebih besar.

Jelasnya, dengan cara ini, pasukannya boleh memberi cabaran hebat buat tiga pasukan utama F1, iaitu Mercedes, Ferrari dan Red Bull.

"Bagi saya, yang paling penting ialah perkembangan dan peningkatan yang berterusan. Itu yang perlu kami lakukan dalam pasukan ini.

"Kami juga perlu memperuntukkan waktu dalam memahami segala komponen dan kaedah terbaik yang kami perlukan untuk jadi lebih baik. Bagi kami, perkara asas seperti ini juga membantu proses peningkatan dari semasa ke semasa.

"Paling utama, kami perlu kembali meningkatkan keyakinan diri dalam pasukan agar kami lebih berani dalam mengambil keputusan yang berisiko tinggi. Kami percaya pendekatan agresif seperti ini sering dilakukan oleh pasukan yang berpengalaman seperti Mercedes," katanya.

Seidl bagaimanapun mengakui semua itu bukan mudah untuk pasukan yang sudah bertahun-tahun berada dalam era kegelapan sepertu Mercedes.

Bagaimanapun, beliau yang baru menyertai McLaren awal tahun ini berjanji untuk memecahkan dinding yang selama ini menghalang kemajuan McLaren dalam arena F1.

"Saya merupakan individu yang akan cuba mendorong orang lain agar berani mengambil risiko dan melindungi mereka jika berlaku kesalahan yang di luar kawalan. Bagi saya, kesalahan akan tetap terjadi, namun kita perlu pastikan kesalahan sama tidak berulang.

"Saya juga cuba untuk menerapkan budaya dan semangat yang membolehkan kami bangkit bersama-sama. Dengan cara ini kami mampu meneruskan momentum kebangkitan dan terus berkembang untuk menjadi antara kuasa besar di F1," katanya lagi.

Komen anda