McPhee tekad kekalkan rentak kemenangan di GP Itali

105

KEMENANGAN pertama Petronas Sprinta Racing dalam Moto3 pada Grand Prix (GP) Perancis, dua minggu lalu, menjadi inspirasi kepada pelumba John McPhee untuk mengekalkan momentum pada aksi seterusnya di GP Itali di Litar Mugello, hujung minggu ini.

Pelumba Scotland berusia 25 tahun itu berkata berdasarkan dengan ujian minggu lepas, beliau percaya pasukan itu menuju ke Litar Mugello dengan mantap.

“Secara jujur saya fikir kita boleh bersaing seperti aksi terakhir sebelum ini,”katanya dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

Mengenai Litar Mugello, McPhee mengakui bahawa litar itu sesuai dengan gaya tunggangannya selepas menduduki tangga keenam di litar tersebut pada 2017.

Berkongsi sentimen sama adalah rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki, yang kini bermotivasi tinggi susulan keputusan positif pada sesi ujian di Litar Catalunya, Sepanyol, minggu lalu.

Pelumba muda Jepun berusia 18 tahun itu menyifatkan Litar Mugello merupakan antara litar kegemarannya kerana ia berbeza dengan litar lain.

“Di litar tersebut saya memperoleh barisan pertama dalam Kejohanan Dunia dan juga kedudukan 10 pelumba terbaik. Litar itu sesuai dengan gaya tunggangan dan saya mempunyai keyakinan amat tinggi pada perlumbaan ini.

“Saya harap GP Itali ini menjadi titik perubahan bagi musim ini dan dari sini kita boleh memperoleh hasil yang lebih baik,” katanya.

Secara keseluruhan, McPhee kini menduduki tempat kesembilan dengan 34 mata manakala Sasaki di tangga ke-18 dengan 14 mata daripada 33 pelumba dalam saingan Moto3.

Komen anda