Mekanisme pelaksanaan kena lebih bersistematik

44
MEKANISME pelaksanaan lebih bersistematik seiring pemantauan rapi adalah perkara yang perlu ditekankan dalam DNA bola sepak Malaysia.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata,  usaha mewujudkan DNA sebagai panduan memahami corak mengikut acuan bola sepak negara adalah langkah yang tepat.
Namun, kebimbangan Sathianathan lebih terarah kepada kepincangan sistem sedia ada yang berpotensi mempengaruhi minat pemain remaja untuk terus bermain dan berusaha mencapai kejayaan.
“Ada DNA atau tiada DNA, kalau jumlah pemain remaja di peringkat akar umbi itu kurang, ditambah pula kekurangan perlawanan kompetitif dan tanpa waktu latihan yang mencukupi, macam mana DNA sekali pun ia tidak akan berhasil.
“Usaha mewujudkan DNA itu bagus tetapi apa yang penting adalah bukan hanya di atas buku sahaja, pelaksanaan yang merangkumi segenap aspek melibatkan komponen-komponen utama adalah mustahak untuk pembangunan setiap pemain muda,” kata jurulatih berusia 61 tahun itu ketika dihubungi kelmarin.
Selasa lalu, buat julung kalinya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia yang juga dipanggil ‘Cara Malaysia’.
Ia bertujuan memanifestasikan falsafah bola sepak negara yang merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur dengan menekankan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan.
Mengulas lanjut, Sathinathan mengambil contoh Jerman dan Jepun yang lebih memberi penekanan dan memandang serius terhadap proses pelaksanaan berbanding elemen lain.
“Di Jerman dan Jepun mereka ada DNA tersendiri juga tetapi apa yang lebih penting di sana adalah wujudnya satu sistem di mana pemain yang ingin bermain bola dapat segala kemudahan diperlukan. Sudah tentu bila semuanya lengkap, ia akan menyemarakkan lagi semangat pemain,” katanya yang juga Ketua Jurulatih Selangor.

Komen anda