Melaka United kini dalam bahaya

1393
FOTO: MUSA

Kapten Melaka United, Shukor Adan memberi bayangan betapa bahayanya kedudukan skuad Hang Tuah apabila gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.

Malam tadi, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu tewas 0-1 kepada PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung hasil jaringan sendiri Ahmad Khuzaimi Piee.

Shukor berkata, situasi ini semakin membimbangkan memandangkan pasukan-pasukan bahawan kini semakin bangkit dan mula mendapat rentak kemenangan dalam beberapa perlawanan terdahulu.

“Saya pun tak tahu apa yang berlaku. Kami memperoleh banyak peluang tetapi inilah masalah yang kami hadapi. Sekarang ini, cantik atau buruk (corak) permainan, kalau tak jaringkan gol, inilah keputusan yang terpaksa kami tanggung.

“Jujur saya katakan, bukan hanya penyokong tetapi kami sebagai pemain juga kecewa. Dengan keadaan sekarang pasukan bawahan sudah mula ada mentaliti kemenangan sedangkan kami belum menang lagi dalam beberapa perlawanan terakhir. Jadi, mahu atau tidak kami perlu bangkit,” katanya.

Pada masa sama, Shukor turut berharap skuad Gegau Melaka Gegau dapat membariskan tonggak-tonggak terbaik untuk kembali mencatat kemenangan pada aksi menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Ahad depan.

“Apa yang ada sekarang sudah carca-marba. Jadi saya harap lawan Kedah nanti barisan terbaik dapat diturunkan untuk mengembalikan pasukan ke landasan kemenangan,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Melaka United, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, kesilapan individu yang dilakukan anak-anak buahnya menyebabkan mereka terpaksa berputih mata.

“Walaupun kita lebih banyak menyerang dan menghasilkan peluang untuk menjaringkan gol tetapi sedikit kesilapan yang dilakukan menyebabkan kita gagal untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.

Komen anda