Mercedes tekad lebar dominasi

113

Penyandang juara, Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas sudah bersedia meneruskan penguasaan Mercedes pada saingan Formula 1 (F1) musim ini.

Prinsipal Mercedes, Toto Wolff berkata, persiapan pasukannya bagi menghadapi perlumbaan kali ini mengikut perancangan yang ditetapkan sekalipun mereka perlu berdepan dengan beberapa perubahan dan peraturan baharu.

Wolff turut meramalkan Hamilton dan Bottas akan bersaing sengit sesama mereka bagi memburu kejuaraan dunia F1 musim ini.

Musim lalu, Hamilton berjaya membayangi kelibat Bottas apabila menjuarai gelaran dunia buat kali kelima dalam kariernya dengan 11 kemenangan.

Bottas pula sekadar di tempat kelima keseluruhan apabila gagal meraih sebarang podium utama.

“Saya telah melihat kedua-dua pelumba ini menjalani sesi latihan. Lewis dilihat lebih bertenaga dan cukup bersedia memburu lebih banyak kemenangan.

“Valtteri juga dilihat cukup bersedia kali ini. Dia merupakan elemen terkuat dalam pasukan dan dia juga banyak membantu pasukan selama ini.

“Saya sudah tidak sabar melihat persaingan sengit daripada kedua-dua pelumba kami dan sudah tentu, saya mahu melihat mereka memberikan cabaran kepada barisan pencabar kami,” katanya.

Biarpun optimis dengan kemampuan duo Mercedes itu, Wolff juga tidak mahu pasukannya mengambil mudah cabaran yang bakal mereka hadapi dalam misi merangkul kejuaraan berganda musim ini.

Mercedes berpeluang muncul sebagai pasukan F1 pertama dalam sejarah meraih gelaran berganda (pemandu dan pasukan) enam musim berturut-turut, sekali gus memadam pencapaian Ferrari yang merekodkan lima kejuaraan berganda (2000 hingga 2004).

“Kejuaraan berganda selama lima musim berturut-turut merupakan pencapaian yang tidak pernah kami jangkakan. Namun, setiap musim akan bermula dengan tanpa sebarang mata.

“Kami tidak boleh bersandarkan kepada pencapaian sebelum ini. Itu sebabnya kami hadir dengan semangat baharu pada setiap awal musim,” jelasnya.

Komen anda