Messi terima gaji paling tinggi

572

Bintang Barcelona, Lionel Messi muncul sebagai pemain bola sepak yang menerima gaji termahal di Eropah. Menurut laporan tahunan akhbar Perancis, L'Equipe, kapten skuad The Catalan itu menerima gaji berjumlah 7.3 juta pound (RM38.5 juta) sebulan.

Jumlah itu sudah cukup menyaksikan Messi mengatasi bekas bintang Real Madrid yang kini bersama Juventus, Cristiano Ronaldo. Ronalo berada di tangga kedua apabila menerima bayaran 4.1 juta pound (RM21.6 juta) sebulan.

Selain kedua-dua bintang handalan dunia itu, L’Equipe turut mendedahkan senarai lapan lagi pemain di Eropah yang menerima gaji paling tinggi bagi melengkapkan senarai 10 teratas.

Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann berada di tangga ketiga dengan gaji berjumlah 2.9 juta pound (RM15.3 juta) sebulan selepas dia menyambung kontrak bersama kelab Sepanyol itu sebelum kempen Piala Dunia 2018.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar pula menghuni tangga keempat apabila dilaporkan menerima 2.7 juta pound (RM14 juta) sebulan. Penyerang Barcelona, Luis Suarez melengkapkan senarai lima teratas dengan gaji bulanan mencecah 2.5 juta pound (RM13 juta).

Lima lagi pemain ialah tonggak Real, Gareth Bale yang menerima gaji berjumlah 2.2 juta pound (RM11.6 juta); perancang Barcelona, Philippe Coutinho (2 juta pound – RM10.5 juta), penyerang Manchester United, Alexis Sanchez (2 juta pound – RM10.5 juta), bintang muda PSG, Kylian Mbappe (1.5 juta pound – RM7.9 juta) dan tonggak Arsenal, Mesut Ozil (1.4 juta pound – RM7.4 juta).

Komen anda