KLFA: Mesyuarat agung tahunan diadakan pada November depan

188
Nokman Mustaffa

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau kongres ke-31 bagi pemilihan ahli jawatankuasa yang baharu bagi penggal 2018-2022 pada November ini.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan AGM yang sepatutnya dijalankan pada November tahun lepas memandangkan laporan audit kewangan KLFA bagi tahun 2018 masih belum selesai.

Menurutnya, surat penangguhan AGM berkenaan akan dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dalam tempoh terdekat.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pada pertengahan Jun ini bagi membentangkan laporan kewangan 2017 kepada anggota gabungan kita, manakala AGM dan pembentangan laporan kewangan KLFA bagi tahun 2018 akan diadakan pada November ini,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Nokman memaklumkan 12 anggota gabungan KLFA perlu membalas surat tunjuk sebab yang dihantar kepada mereka, baru-baru ini atau bakal berdepan tindakan tegas dengan Jawatankuasa Disiplin KLFA sekiranya gagal berbuat demikian.

Surat tunjuk sebab berkenaan dikeluarkan kepada 12 anggota gabungan KLFA berkenaan yang dilaporkan membuat aduan kepada PJS susulan kegagalan KLFA mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa bagi penggal 2018-2022 pada November 2018.

PJS dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Februari lepas telah mengarahkan KLFA untuk mengadakan AGM sebelum atau pada 31 Mei ini atau berdepan tindakan pembatalan pendaftaran oleh PJS.

Komen anda