MFL, AFL siasat insiden kekecohan aksi JBFA, Kelantan United

34

MALAYSIAN Football League (MFL) akan menyiasat insiden pergaduhan membabitkan pengadil perlawanan dengan pemain dan pegawai JBFA yang berlaku selepas perlawanan Liga M3 menentang Kelantan United di Stadium Mini Kulai, Sabtu, 6 Julai lalu.

Menurut MFL, pihaknya sudah menerima laporan awal pengadil perlawanan yang diserahkan penganjur Liga M3, Amateur Football League (AFL) berhubung insiden itu dan sudah mengarahkan pihak JBFA untuk tampil memberikan keterangan.

Selain itu tambah MFL, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada koordinator perlawanan, pengadil dan pasukan pelawat Kelantan United FC sebelum sebarang tindakan diambil.

“Di sini MFL ingin menegaskan bahawa kami memandang serius terhadap sebarang salah laku pemain dan pegawai dalam perlawanan.

“Selain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab untuk mengenakan tindakan ke atas sebarang kesalahan disiplin, MFL sebagai penganjur Liga Malaysia turut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan yang ada,” kata MFL dalam satu kenyataan semalam.

Berdasarkan peraturan Liga M3 Artikel 5 (c) (viii) menurut MFL, mana-mana pemain atau pegawai yang dilaporkan berkelakuan tidak berdisplin atau bertindak ganas di sekitar tempat permainan dan juga terhadap pengadil atau pegawai perlawanan, maka mereka akan dihadapkan ke unit Perundangan MFL mengikut peraturan yang ditetapkan oleh MFL.

Tambahnya, berdasarkan peraturan Liga M3 dan menurut hasil siasatan MFL, jika didapati bersalah, pasukan bersalah boleh diisytiharkan sebagai pasukan yang kalah dengan jumlah gol sebanyak 0-3; dan/atau pemotongan tiga mata ke atas pasukan bersalah; atau pemain, pegawai atau pasukan terbabit boleh disingkirkan dari Liga M3.

Dalam perlawanan minggu ke-11 Liga M3 itu menyaksikan pengadil perlawanan Hasman Hisham Asngari dan pembantu pengadil didakwa diserang oleh pemain dan pegawai JBFA sebaik tamat perlawanan yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat seri 3-3.

Komen anda