MFL atau pihak tertentu yang ada agenda?

199
FOTO: MFL

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan kononnya mempunyai agenda apabila didakwa melambatkan penyerahan geran tahunan kepada semua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Sri Mukhriz Mahathir itu jelas memperlihatkan beliau tidak mengikuti isu berkenaan dengan teliti.

“Dua hari lalu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat kenyataan mengenai cukai pemain bola sepak dan sebagainya.

“Respons daripada warga industri bola sepak amat memberangsangkan bila mereka menyokong dan berkata jika mahu melihat industri bola sepak tempatan ini ke arah lebih maju, lebih baik ada sumbangan untuk membantu dan bukannya sekadar berkata-kata.

“Hari ini pula tiba-tiba Presiden KFA membuat satu kenyataan untuk mengatakan bahawa kelambatan penyerahan geran tahunan telah menjejaskan pasukan-pasukan.

“Ternyata respons daripada penyokong dalam komen-komen berkenaan kenyataan itu membuktikan peminat bola sepak tempatan sudah matang dan boleh melihat sendiri bahawa kenyataan ini adalah cuma untuk menampakkan keburukan sesetengah pihak terutama Pengerusi MFL Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Kami ingin menyatakan bahawa pengagihan geran tahunan berkait dengan hak penyiaran ini adalah pertama kali dalam sejarah dilakukan pada tahun lalu.

“Ini adalah satu kejayaan MFL dan bila kami di dalam proses berkembang dan terus melaksanakan projek-projek yang akan memartabatkan industri bola sepak di dalam tempoh panjang, kita telah direncatkan dengan penarikan diri salah satu daripada penaja utama kami iaitu Telekom Malaysia (TM).

“Ingin kami nyatakan dalam kenyataan Presiden KFA itu, beliau cuba untuk berkata bahawa mungkin ada agenda lain di dalam MFL. Oleh sebab itu beliau menyifatkan pihak MFL tidak mahu menyerahkan geran tahunan itu lagi.

“Ternyata beliau tidak mengikuti perkembangan Liga Malaysia dengan teliti, ini kerana jika beliau mengikuti perjalanan Liga Malaysia sudah pasti beliau akan tahu bahawa faktor kelewatan geran tahunan itu disebabkan penarikan diri daripada penaja utama kami yang telah pun mula menghadapi masalah di mana mereka (TM) bertukar pucuk kepimpinan sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu.

“Jika Presiden KFA mahu mencetuskan kontroversi dengan berkata bahawa harapan beliau tiada agenda di sebaliknya, pihak MFL pula ingin bertanya adakah wujud agenda apabila pihak TM secara tiba-tiba berubah dalam pengurusan mereka dengan pihak MFL sejurus selepas PRU pada tahun lalu.

“Ini adalah satu perkara yang kita cuba elak sebelum ini tetapi jelas secara tiba-tiba ahli-ahli politik ini mahu membuat pelbagai komen dan sudah jelas bahawa pihak MFL menjadi sasaran mereka,” katanya.

Mukhriz semalam menerusi media tempatan membuat satu kenyataan bahawa beliau berharap tiada agenda tersembuyi oleh MFL mengenai isu geran pasukan.

Jelas Mukhriz dalam kenyataan itu, beliau melahirkan kerisauan tersebut kerana proses pembayaran itu sudah mengambil masa yang cukup lama serta bimbang akan hanya akan memberikan persepsi buruk kepada Liga Malaysia.

Tapi apa yang jelas di sini, tindakan Mukhriz mempertikaikan usaha MFL ini seperti mahu mencetuskan persepsi buruk kepada badan yang berusaha mendapatkan dana membantu kewangan setiap pasukan.

Malah lebih mengecewakan, beliau seperti tidak mengendahkan rayuan beberapa pemain seperti Shukor Adan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Matthew Davies yang membuat kenyataan mahu semua pihak memberi sokongan kepada MFL daripada terus memberi kenyataan negatif kerana bimbang boleh memberi kesan kepada periuk nasi pemain apabila pasukan kehilangan penaja.

Bagaimanapun dengan kesulitan untuk membantu semua pasukan mendapatkan geran tahunan, MFL yang diterajui Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tidak hanya berpeluk tubuh sebaliknya terus berusaha mendapatkan penajaan baharu selepas ketiadaan TM.

Malah MFL sebenarnya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dengan tidak hanya bersandarkan kepada satu penaja bagi mengelakkan operasi MFL untuk mengendalikan Liga Malaysia lumpuh sama sekali.

Ini terbukti apabila Liga Malaysia tetap berjalan dengan baik malah bertambah rancak.

“Jadi pihak MFL sebenarnya sudah menjangka situasi ini dan disebabkan itu kita telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan bahawa pelaburan ke dalam MFL ini bukan daripada satu syarikat besar di Malaysia tetapi daripada luar negara yang mana mungkin kita lebih selamat daripada sesetengah pihak itu menarik diri melabur di Liga Malaysia.

“Jadi semua perkara ini mengambil masa dan kami dengan sedaya upaya mahu memastikan masa depan Liga Malaysia terjamin dengan tiada apa-apa bantuan atau sokongan daripada pihak-pihak tertentu. Kita sedar komen pada beberapa hari lalu oleh pihak tertentu hanya mahu meletakkan lebih tekanan kepada MFL.

“Kami berharap jangan politikkan bola sepak tempatan dan bola sepak perlu lebih jauh daripada politik kerana bola sepak adalah sukan utama rakyat Malaysia di mana perlu diberikan perhatian positif, bukan digunakan sebagai pentas politik untuk mempopularkan diri dengan menggunakan kenyataan tertentu jika tidak mendapat sambutan di pentas yang lain,” katanya.

Komen anda