MFL saman TM lebih RM400 juta

1002

LIGA Bolasepak Malaysian (MFL)  mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM) dengan pemfailan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan pelanggaran kontrak penajaan kerana gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran bagi tahun 2019.

Tindakan itu dibuat selepas TM mengumumkan mereka bukan lagi penaja Liga Malaysia bermula 2019 selain menafikan mereka gagal melaksanakan perkara yang terkandung dalam kontrak sebaliknya menyatakan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama berkenaan asas komersial.

“Tempoh kontrak penajaan yang telah ditandatangani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025. Terma dan syarat ini telah dipersetujui dan dimeterai bersama pada Januari 2018.

“Satu kenyataan bersama MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP dan TM bertarikh 1 Februari 2018 bertajuk ‘unifi menyatukan rakyat Malaysia melalui bolasepak’ dikeluarkan sebagai tanda kolaborasi bagi menaja Liga Malaysia.

“Malangnya selepas itu, TM telah mencadangkan terma-terma baru termasuk perubahan kepada terma asas yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama. Antara terma yang mahu dimasukkan TM adalah perubahan yang jelas bercanggah dengan persetujuan bersama sebelum ini dan akan menjadikan perjanjian antara MFL dan TM tidak stabil dan tidak adil,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan MFL hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara tersebut tidak mungkin boleh dipersetujui oleh MFL kerana ia dilihat sebagai cara TM untuk membebaskan diri daripada obligasinya di bawah syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama sebelum ini.

“Proses ini telah mengambil masa yang panjang dan pihak MFL telah cuba sedaya upaya untuk membantu mencari jalan tengah dalam perkara ini termasuk bersedia meminda sedikit syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani bagi membantu pihak TM.

“Begitupun TM enggan menjalankan sebarang perundingan untuk mencari penyelesaian dan juga tidak mahu meluangkan masa mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu ini apabila dijemput pihak MFL walaupun ada representasi sebaliknya daripada pengurusan TM ketika itu telah dipersembahkan kepada kepimpinan MFL.

“Perlu dinyatakan dengan jelas bahawa pihak MFL tidak pernah menegaskan perubahan syarat yang telah dipersetujui dan perubahan yang tidak dapat diterima adalah perubahan atau syarat baru yang ditegaskan oleh pihak TM,” katanya.

Justeru, MFL terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap TM bagi melindungi hak pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia serta memelihara kepentingan bolasepak negara.

“Jumlah yang dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga telah disampaikan kepada peguamcara TM pada hari ini (21 Mac 2019).

“Memandangkan perkara ini telah dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberikan sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah,” jelasnya.

Komen anda