MFL pilih kepakaran luar

254

JAWATAN Pengurus Besar Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) bakal diisi oleh calon dari luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sudah menyenarai pendek tiga hingga empat calon.

“Calon yang sedang diteliti bukan hanya perlu ada latar belakang pengadilan bola sepak, tetapi mereka juga perlu ada pengalaman dalam bidang pengurusan.

“Yang pasti calon itu dari luar Malaysia dan mereka tidak semestinya merupakan bekas instructor daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC). Kita tidak perlukan status besar seperti itu, cukuplah mereka menepati syarat-syarat yang kita mahukan,” kata Kevin.

Dalam pada itu, Kevin berkata MFL telah meletakkan syarat kepada calon berkenaan iaitu mereka perlulah bersetuju untuk berpindah dan menetap di Malaysia dan bukannya sekadar melakukan tugas dari luar negara.

Katanya, syarat itu amat penting kerana pihaknya mahu pengurus besar yang dilantik itu mengkaji dan memantau perjalanan badan bebas ini pada peringkat permulaan.

“Kami belum membuat sebarang kata putus lagi buat masa ini kerana kita mahu calon tersebut bersetuju untuk bekerja di negara ini.

“Katakan dia bersetuju untuk bekerja di Malaysia kemudian barulah kami boleh berbincang mengenai kontrak atau sebagainya. Jadi langkah pertama adalah memastikan sama ada beliau boleh berpindah ke Malaysia atau tidak,” katanya.

PMOM sebuah badan bebas pengadil yang ditubuhkan hasil kerjasama MFL dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk menjadikan pengadil tempatan ke arah profesional sepenuhnya.

Komen anda