MFL sedia tanggung separuh kos penerbangan kelab M3

92
FOTO: MFL
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bersedia membayar separuh daripada kos penerbangan kepada mana-mana kelab yang terbang ke Kuching, Sarawak, untuk saingan Liga M3 pada musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pentadbir Liga Malaysia itu turut bersedia, untuk membayar separuh daripada kos penerbangan kepada pasukan amatur, yang telah terbang ke Kuching untuk saingan Liga M3 pada awal musim ini.
“Bagi pasukan yang telah terbang dan bermain di sana, mereka boleh menuntut kos tersebut dengan menyerahkan invois kepada pihak MFL, dan saya berharap pendekatan ini dimanfaatkan sepenuhnya kelab amatur negara kita,” katanya.
Kevin berkata, MFL akan mengadakan perbincangan untuk mencari jalan membantu kos perbelanjaan perlawanan pasukan berkenaan, yang kerap berkunjung ke Semenanjung untuk mengharungi perlawanan Liga M3.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan MFL bersetuju untuk melaksanakan proses pembayaran terus kepada pengadil perlawanan Liga M3 tanpa melibatkan lagi campur tangan daripada kelab-kelab amatur bermula Sabtu ini.
Kevin berharap keputusan berkenaan dapat membantu kelab-kelab Liga M3 menjadi lebih fokus, dalam menguruskan persiapan pasukan daripada sudut kewangan ke arah lebih positif.
“Proses ini secara tidak langsung akan memudahkan setiap pasukan amatur, di mana mereka tidak perlu lagi membayar kos pengadil dianggarkan RM1,800 bagi setiap perlawanan, kerana MFL akan melakukan transaksi pembayaran terus kepada setiap pengadil yang terlibat.
“Justeru, MFL dan AFL (Amatur Football League) sentiasa komited untuk membantu kelab-kelab daripada mengeluarkan wang pasukan dahulu untuk membayar pengadil, dan dengan proses ini akan memudahkan pengurusan pasukan amatur daripada sudut kewangan, bagi menguruskan keperluan lain berdasarkan kesesuaian kelab mereka sendiri,” tegas Kevin.
Untuk rekod, bayaran kepada pengadil akan dibuat pasukan tuan rumah yang akan membuat tuntutan kepada MFL selepas perlawanan berkenaan.
Sebanyak 14 pasukan amatur bertanding dalam Liga M3 pada musim ini.

Komen anda