MFL terima pendaftaran Akhyar bersama JDT

924
Foto: Football Association of Malaysia (Official)
Foto: Football Association of Malaysia (Official)

 

PEMAIN muda negara Akhyar Rashid tetap boleh beraksi bersama pasukan baharunya, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Piala Sumbangsih 2019 menentang Perak, pada 2 Februari depan walaupun tidak mendapat surat pelepasan bekas majikannya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Berdasarkan situasi semasa, pemain menjadi rebutan antara Lang Merah dan Harimau Selatan yang sehingga kini masih belum selesai memandangkan KFA masih belum mengeluarkan surau pelepasan kepada pemain tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, walaupun KFA enggan memberi surat pelepasan kepada Akhyar namun pemain muda itu tetap berpeluang beraksi bersama JDT bagi Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

“JDT sudah pun mendaftarkan nama Akhyar bersama skuad Harimau Selatan pada 7 Januari lalu namun masih berada dalam senarai menunggu.

“JDT sudah mendaftarkan pemain mereka termasuk Akhyar namun nama dia berada dalam senarai simpanan kerana masih kurang satu dokumen (surat pelepasan). Dalam tempoh 14 hari selepas pendaftaran Akhyar dengan JDT, KFA perlu menyerahkan surat pelepasan pemain tersebut kepada JDT.

“Berdasarkan peraturan sedia ada tiada peraturan yang dapat menghalang pemain itu didaftarkan jika ada keputusan yang mengatakan dia bebas daripada mana-mana pasukan. Maka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh meluluskan pendaftarannya.

“Sama juga dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenai pemain import jika dia tidak mempunyai Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dari kelab terdahulu tetapi jika pemain tersebut dapat membuktikan dia pemain bebas atau mengemukakan surat keputusan kontrak maka pemain tersebut boleh didaftarkan dan Fifa boleh meluluskan untuk antarabangsa manakala FAM untuk kuasa tempatan bagi pendaftaran sementara.

“Pendaftaran sementara ini dibenarkan bagi tempoh 90 hari di mana jika ada sebarang keraguan atau kes-kes yang berkaitan dengan status pemain ia boleh diubah dan jika tiada sebarang perubahan pemain tersebut akan kekal dengan pasukan baharunya,” jelasnya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Sehingga kini isu Akhyar terus menjadi bualan dan perdebatan malah KFA masih bertegas membawa kes ini ke Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menolak rayuan berhubung jumlah pampasan pemain mudanya, Akhyar walaupun pemain tersebut kini telah menjalani latihan bersama Harimau Selatan.

Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum ini memuktamadkan segala kemelut timbul dan mana-mana pasukan mahu mendapatkan Akhyar perlu membayar pampasan RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak RM210,000.

Difahamkan, Akhyar masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Komen anda