MHC tambah baik peraturan dua kejohanan

48

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) memperkenalkan peraturan baharu pada saingan Piala Tun Abdul Razak dan Kejohanan Hoki Veteran Kebangsaan berkuat kuasa tahun ini.

Pengurus Pertandingan MHC Brian Fernandez berkata peraturan yang ditambah baik itu telah diputuskan setelah mendapat persetujuan daripada 11 wakil negeri yang hadir pada mesyuarat antara Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri.

Menurutnya, kriteria untuk melayakkan pemain mewakili pasukan negeri bagi Piala Tun Abdul Razak berdasarkan tempat lahir tidak lagi diguna pakai, sebaliknya digantikan dengan empat kriteria baharu.

“Peraturan nombor satu, pemain yang masih belajar perlu mewakili negeri mereka bagi Sukan Malaysia (Sukma) atau sekiranya mereka tidak mengambil bahagian dalam kejohanan itu, mereka akan mewakili negeri di mana mereka bersekolah menengah. Namun peraturan yang ditetapkan kepada pemain yang belajar di sekolah sukan dikekalkan.

“Selain itu, pemain yang telah bekerja dan berusia 30 tahun ke bawah bagi lelaki sementara 25 tahun ke bawah bagi wanita akan mewakili negeri mereka mengikut peraturan nombor satu, manakala pemain yang berusia lebih daripada had umur tersebut mempunyai pilihan untuk mewakili negeri di mana mereka bekerja atau negeri terakhir mereka menyertai Sukma atau bersekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jika pemain tidak berada dalam mana-mana senarai berkenaan, mereka akan dianggap sebagai pemain jemputan dan setiap pasukan hanya boleh mendaftar empat pemain jemputan sahaja dan perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada persatuan hoki negeri masing-masing.

“Peraturan ini juga diperkenalkan bagi memastikan pemain kebangsaan boleh mewakili negeri-negeri lain dan tiada lambakan pemain kebangsaan dalam sesebuah negeri sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, persetujuan bagi peraturan Kejohanan Hoki Veteran Kebangsaan juga berjaya dicapai dalam mesyuarat tersebut yang antaranya setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftar 18 pemain sahaja pada kejohanan tersebut.

“Hanya empat pemain berusia 40 hingga 44 tahun boleh didaftarkan, sementara pemain lain perlu berusia 45 tahun ke atas dan sekiranya pemain telah bersara (termasuk persaraan awal seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya) mereka akan diletakkan di bawah kriteria pemain jemputan.

“Pemain yang pernah mewakili negeri dalam Piala Tun Abdul Razak atau Sukma atau tempat mereka bekerja atau mendapat pengajian terakhir akan dikira sebagai pemain utama bagi negeri tersebut, dan setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftar sehingga enam pemain jemputan dan perlu mendapatkan surat kebenaran daripada negeri yang berkenaan,” katanya.

Piala Tun Abdul Razak 2019 akan membuka tirai pada 6 hingga 14 September ini dan Persatuan Hoki Selangor bakal menganjurkan kejohanan tersebut yang akan berlangsung di ibu negara, sementara Kejohanan Hoki Veteran Kebangsaan akan bermula pada 21 hingga 24 November ini, namun venue pertandingan masih belum ditentukan.

Komen anda