Mick setanding Michael Schumacher pandu Ferrari

203

MICK Schumacher benar-benar mengikut jejak langkah ayahnya, Michael Schumacher yang merupakan legenda Formula 1 (F1) apabila menunjukkan kecemerlangan dalam sesi latihan bersama Ferrari di Bahrain.

Walaupun sekadar menjadi pemandu uji jentera yang sinonim dengan karier bapanya itu, Mick tampil mengagumkan apabila mengakhiri sesi latihan sebagai pelumba kedua terpantas, di belakang pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Bercakap tentang perasaannya memandu SF90, Mick berkata beliau benar-benar selesa dan tidak berdepan sebarang masalah dengan jentera baharu untuknya itu.

“Emosi yang sangat baik. Saya rasa seolah-olah berada di rumah. Saya sangat teruja dapat melakukan pusingan pertama dan seolah-olah dapat bersaing dengan pelumba lain dalam sesi latihan ini.

“Saya sangat selesa dan yakin jentera ini mempunyai potensi besar untuk saingan F1 musim ini. Saya yakin, akan ada banyak pembaharuan yang dapat mereka lakukan untuk kembali menjadikan Ferrari syarikat pengeluar terbaik di dunia,” katanya.

Selepas memandu uji Ferrari, Mick diberikan kesempatan pula untuk menguji jentera Alfa Romeo yang mana beliau menyifatkan tugas itu akan bertambah seronok untuk dirinya.

“Saya mengunggu saat-saat ini dan saya akan cuba memperbaiki setiap kesalahan yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Setiap peluang ini perlu saya manfaatkan untuk belajar banyak perkara baharu bagi mengembangkan karier saya di masa akan datang,” katanya lagi.

Komen anda