Misi wajib menang Gergasi Merah

102

ZURAIMEE ZAINAL

SELANGOR tampil berdepan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Begitupun, pengendali Selangor, B Sathianathan tidak mahu menjadikan masalah tersebut sebagai alasan buat mereka meraih kemenangan dalam pertemuan itu yang dianggap misi wajib menang.

Sathianathan memberitahu, beliau yakin barisan pemain yang akan diturunkan nanti mampu menggalas amanah dan tanggungjawab The Red Giants dalam misi memastikan kedudukan empat terbaik musim ini.

“Ketika menentang Johor Darul Ta’zim ( JDT) di Larkin tempoh hari, pemain-pemain yang menggantikan pemain digantung dan cedera tidak menghampakan saya apabila memberikan aksi terbaik mereka sepenuh jiwa.

“Kali ini sekali lagi saya meletakkan harapan kepada pemain-pemain terbabit bagi menggalas cabaran Selangor,” kata Sathianathan kepada Sukan Sinar semalam.

Pada pertemuan menentang Pahang malam ini, Sathianathan tidak dapat menurunkan Taylor Regan, K Sarkunan yang menjalani penggantungan perlawanan manakala Abdul Halim Saari dan Syazwan Zainon diketepikan ekoran kecederaan.

Mengakui kehilangan Regan bakal memberi impak kepada pasukan, Sathianathan berkata, beliau tidak mahu memperjudikan nasib menurunkan pemain yang belum pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan.

“Penyokong Selangor kena faham bahawa saya tidak boleh menurunkan pemain yang tak pulih 100 peratus kerana ia akan menjejaskan prestasi pemain itu sendiri. Buat masa ini, Halim dan Syazwan masih dalam proses pemulihan,” jelasnya.

Mengulas kemungkinan Pahang turun tanpa kelibat ‘Orang Besi’, Dickson Nwakaeme akibat kecederaan, Sathianathan berkata, Selangor tetap harus berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

“Pahang bukan pasukan biasa-biasa musim ini kerana saya lihat Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Mohamadou Sumareh begitu bertenaga sejak bersama skuad kebangsaan tapi saya percaya pemain yang diberikan tanggungjawab mampu mengekang kedua-dua pemain ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata, beliau sememangnya mengharapkan sokongan padu berterusan daripada penyokong setia The Red Giants bagi membarakan semangat para pemainnya.

“Jika nak kritik saya berdasarkan prestasi pasukan, saya boleh terima tetapi biarlah kritikan membina. Jangan kritik pemain kerana saya percaya mereka telah memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan,” tegasnya.

Komen anda