Mitchell mahu bangkit di Jerman

19

PELUMBA sensasi negara, Mitchell Cheah bertekad untuk bangkit di Nurburgring, Jerman selepas kecewa pada kedua-dua perlumbaan ADAC TCR Germany Touring Car Championship yang berlangsung di Sirkit Zandoort, Belanda minggu lepas.

Pelumba yang berusia 21 tahun dan wakil tunggal dari Asia itu memulakan perlumbaan dengan baik namun nasib tidak menyebelahinya atas faktor cuaca dan kerosakan teknikal memaksa beliau menamatkan saingan lebih awal.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu menjadikan ia amat sukar buat saya pada sesi kelayakan, namun saya berjaya memasuki pusingan kedua ujian kelayakan. Matlamat kami adalah untuk berada di kelompok 10 terbaik namun ia tidak membuahkan hasil dan saya terpaksa berpuas hati berada di tempat ke 12.

“Semasa perlumbaaan pertama, saya berjaya mengatasi empat pelumba di depan tetapi malangnya saya telah dilanggar pada bahagian belakang sekali gus memaksa saya menamatkan perlumbaan.

“Pada perlumbaan kedua pula, saya berjaya memperbaiki pemanduan dan berada di kedudukan kelapan tetapi pada lima pusingan terakhir asap mula keluar dari jentera dan saya tiada pilihan lain selain sekali lagi menamatkan perlumbaan tersebut.” ujarnya.

Begitupun, Mitchell berazam untuk melupakan episod malang yang menimpanya minggu lalu dan mahu memperbaiki kedudukannya pada pusingan berikutnya.

"Ini kali pertama saya berlumba di litar tersebut dan saya hanya melalui dua sesi latihan sahaja. Jadi, ianya amat sukar bagi saya untuk menyesuaikan diri. Tetapi saya berazam untuk bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan saya pada pusingan yang akan datang.” jelasnya.

Sementara itu, bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong optimis pemandu muda itu mampu bangkit dari kekecewaan di Belanda minggu lalu.

“Secara jujur, Mitchell berjaya mencuri tumpuan serta memandu dengan baik memandangkan ini merupakan kali pertama beliau berlumba di litat tersebut. Cuma nasib tidak menyebelahinya kerana terlibat dengan pelanggaran dan terpaksa menamatkan saingan ekoran masalah terknikal.

"Kita masih mempunyai masa dan saya yakin Mitchell mampu memperbaiki kedudukannya pada pusingan akan datang.”ujar Alex.

Saingan ADAC TCR Germany Touring Car Championship yang kini telah memasuki musim yang keempat akan diteruskan di Nurburgring, Jerman bermula hari ini sehingga 18 Ogos untuk perlumbaan pusingan kesembilan dan ke-10.

Komen anda