Mitchell pamer belang di Austria

140
Mitchell Cheah ketika sesi podium selepas beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekaligus merangkul gelaran "Honda Rookie Challenge" di pusingan ke-5 ADAC TCR Germany Touring Car Championship, Sabtu lalu.

PELUMBA negara Mitchell Cheah meneruskan rentak yang lebih cemerlang dalam saingan ADAC TCR Germany Touring Car Championship apabila meraih kedudukan kedua pada perlumbaan di litar Red Bull Ring, Austria minggu lalu selepas cemerlang bulan lalu.

Mitchell yang sebelum ini pernah merangkul gelaran rookie semasa saingan di Republik Czech menjadikan litar di Spielberg untuk membuktikan kewibawaan sebenarnya apabila berjaya menamatkan perlumbaan pertama di tempat kedua dengan catatan masa 32:55.853 pada Sabtu serta turut merangkul rookie keduanya musim ini.

Berada di hadapannya yang juga juara dalam perlumbaan pertama adalah Harald Proczyk yang memandu Hyundai dari HP Racing International dengan catatan 32:54.097 manakala di kedudukan ketiga adalah pemandu jentera Audi dari MLS Racing, Antti Buri mencatatkan 32:56.175.

Bercakap mengenai perlumbaan di Austria itu, Michell, 21, berkata, ianya akan menjadi batu loncatan buatnya untuk meraih lebih banyak kejayaan pada perlumbaan seterusnya.

Mitchell produk pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, “Saya begitu teruja kerana berjaya berada di kedudukan kedua sekaligus dapat mendaki podium buat kali pertama dalam saingan ini. Satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata namun saya akan terus melakukan yang terbaik untuk cuba menjadi juara selepas ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat.”

“Di Austria kali ini, saya berjaya menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan kedua namun dalam dalam perlumbaan kedua saya gagal mengulangi pencapaian sama. Saya bermula dengan baik dalam perlumbaan kedua, saya bermula di kedudukan ke-7 dan berjaya berada di kedudukan ke-3 sebelum kenderaan keselamatan keluar.

“Selepas perlumbaan bersambung, saya di kedudukan kedua dan peluang untuk memenangi perlumbaan memang ada sehinggalah pegawai perlumbaan membuat keputusan di mana saya perlu pandu lalu penalti. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan saya perlu menerimanya walaupun sukar.

“Apapun, sudah tentu kejayaan menaiki podium akan menjadi satu pemangkin semangat buat saya untuk meneruskan kecemerlangan serta aksi yang lebih konsisten dalam baki perlumbaan akan datang,”tambah Mitchell yang memandu jentera jenis Volkswagen dari VW Team Oettinger.

Mentornya, Alex Yoong dari Axle Motorsport pula berkata, “Mitchell memandu dengan sangat baik. Dia mempunyai kelajuan untuk memenangi perlumbaan kedua namun kurang bernasib baik kerana dikenakan penalti. Kita begitu bangga dengan pencapaian yang diraihnya kerana dia mampu bersaing dengan pelumba-pelumba handalan serta memiliki lebih pengalaman daripada dirinya,”katanya.

Mitchell Cheah memandu jenteranya, Volkswagen Golf GTI TCR ketika perlumbaan ADAC TCR Germany Touring Car Championship di Red Bull Ring, Austria.Pusingan ke-5 menyaksikan Mitchell Cheah menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan merangkul gelaran “Honda Rookie Challenge” serta menamatkan perlumbaan pusingan keenam di kedudukan ke 10.

Komen anda