Mohd Musa elok jangan campuri urusan KOM

54
Noorul Ariffin

BEKAS Naib Presiden, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed meminta pemerhati bebas, Datuk Mohd Musa Noor Mohd menghentikan serangan peribadi terhadap kepimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),

Katanya, beliau tidak pasti mengenai motif Mohd Musa, yang juga bekas pengarah Pusat Prestasi Tinggi Olahraga Asia (HPTC), mempersoalkan prosedur pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM ke-16 pada 30 Jun lalu memandangkan ia diadakan mengikut peraturan.

Justeru, beliau meminta Mohd Musa untuk tidak mencampuri urusan KOM bagi memastikan kepimpinan baharu diketuai Datuk S.M Muthu dapat menjalankan tugas dengan baik, terutamanya bagi memastikan skuad negara dapat meraih keputusan positif pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.

“Saya tidak tahu agenda Datuk Mohd Musa kerana beliau bukanlah perwakilan Pahang dan Persatuan Olahraga Pahang sendiri, tidak membuat bantahan pada AGM berkenaan.

“Kenapa orang ketiga yang bukan berada dalam gabungan KOM membuat bantahan, dan saya rasa ini tidak masuk akal dan saya tidak tahu (sama ada) beliau (Mohd Musa) membuat satu publisiti murahan,” katanya semalam.

Mohd Musa, yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Olahraga Daerah Temerloh, baru-baru membuat aduan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dengan mendakwa wujud kesilapan perjalanan mesyuarat tersebut, selain mempersoalkan pelantikan bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi sebagai Pengerusi Pemilihan AGM berkenaan.

Dalam pada itu, Noorul Ariffin, yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), berharap KOM dapat mempertimbangkan keputusan untuk melantik jurulatih pecut dari Amerika Syarikat, Dwayne I Miller sebagai ketua jurulatih negara yang baharu.

Beliau mendakwa masih terdapat beberapa bekas atlet negara yang mampu membantu meningkatkan prestasi skuad olahraga negara termasuk Hanafiah Nasir, Norsham Yoon dan Datuk Zaiton Othman.

Timbalan Presiden KOM, Datuk  Mumtaz Jaafar, baru-baru ini mengesahkan Miller akan berkhidmat bersama skuad olahraga negara bermula bulan depan.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah ‘Nike Coach of the Year’ dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Komen anda