MOM cadang bida Sukan Asia 2030 

196
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan hasrat menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan berkenaan memandangkan anggota negara Asean iaitu Thailand dan Indonesia pernah menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar rantau Asia itu.
Untuk rekod, Thailand menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 1966, 1970, 1978 dan 1998, manakala Indonesia pada tahun 1962 dan 2018.
“Kita mempunyai kemudahan dan infrastruktur sukan yang baik dan saya rasa sudah tiba masanya untuk negara kita menjadi tuan rumah kepada temasya sukan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM, di sini semalam.
Beliau berkata, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail akan mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk dibentangkan kepada kerajaan.
Bandaraya Hangzhou, China akan menjadi tuan rumah Sukan Asia 2022, manakala edisi 2026 akan diadakan di Nagoya, Jepun.
Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, pihaknya akan mengemukakan bidaan kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) sekiranya mendapat kelulusan Kabinet.
 Difahamkan lima negara lain turut berminat membuat bidaan tuan rumah Sukan Asia 2023 iaitu India, Korea Selatan, Filipina, Thailand dan Uzbekistan.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza berkata, pihaknya akan mengumumkan nama dua timbalan ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina 2019 dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata pemilihan akan dilakukan setelah meneliti nama yang dikemukakan oleh wakil KBS dan ketua kontinjen negara  ke temasya sukan dwitahunan itu, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Beliau menjelaskan pemilihan dua timbalan ketua kontinjen diputuskan memandangkan Filipina akan menganjurkan Sukan SEA 2019 di empat kluster iaitu Manila, Clark, Subic dan BLT (Batangas, La Union dan Tagaytay dari 30 November hingga 11 Disember ini .

Komen anda