MOM: Tiada sebarang aduan mengenai proses pemilihan atlet luncur ais ke Sukan SEA 2019 Filipina

99
Mohamad Norza

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak menerima sebarang aduan berhubung proses pemilihan atlet luncur ais yang bakal mewakili negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina pada November depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berikutan media tempatan sebelum ini melaporkan pasukan atlet luncur ais lelaki negara yang meraih lima pingat emas dan tiga gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mendakwa mereka disingkir daripada skuad negara oleh Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF).

Sementara itu, Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan sebarang proses pemilihan atlet di peringkat persatuan harus melibatkan semua atlet yang layak dan persatuan perlu memperincikan proses pemilihan tersebut.

“Apa sahaja perkara berkaitan dengan pemilihan di peringkat persatuan mesti merupakan proses pemilihan komprehensif melibatkan semua atlet yang mereka rasa layak. Kita tidak mahu orang mempertikaikan integriti pemilihan di peringkat mereka (persatuan).

“Kalau ada aduan ia akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pemilihan. Kita akan pertimbangkan dan saya mahu persatuan supaya dapat memperincikan macam mana mereka lakukan pemilihan tersebut,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA ke-30, semalam.

Mohamad Norza berkata pihaknya menetapkan tempoh 12 bulan, sehingga Jun ini, untuk persatuan mengenal pasti atlet yang akan mewakili negara ke Sukan SEA Filipina berdasarkan kepada pencapaian mereka.

Laporan Sukan Sinar 10 Mei lalu.

Untuk rekod, atlet luncur ais tersebut sebelum ini di bawah naungan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) dan selepas pendaftaran persatuan itu dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan pada Mei tahun lalu, MISF ditubuh dan diiktiraf pada Disember lalu sebagai badan induk baharu sukan berkenaan.

Pendaftaran ISAM dibatalkan selepas gagal mengemukakan laporan kewangan dari 2008 hingga 2017 kepada Pesuruhjaya Sukan sehingga memaksa atlet negara di bawah ISAM disingkirkan oleh MISF daripada skuad negara tanpa alasan munasabah.

Sebelum ini, Mohd Nazifuddin mengesahkan pihaknya hanya berurusan dengan MISF termasuk soal pemilihan atlet ke Sukan SEA Filipina selepas pendaftaran ISAM dibatalkan dan MOM turut membatalkan pendaftaran persatuan itu sebagai ahli gabungan MOM.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata pihaknya menyediakan tabung amanah kepada persatuan sukan yang memerlukan dana untuk persediaan ke Sukan SEA Filipina.

“Jika persatuan memenuhi kriteria yang ditetapkan MOM, kita ada peruntukan sehingga RM30,000. Kita ada peruntukan yang cukup. Kita akan adakan mesyuarat pada 17 Mei ini untuk membincangkan mengenai tabung amanah itu,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian mengulas mengenai Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (PSBM) yang memerlukan dana bagi persediaan ke Sukan SEA 2019. – Bernama

Komen anda